AS rancang jual jet tempur F-35 kepada UAE

AS rancang jual jet tempur F-35 kepada UAE

Potensi penjualan F-35 kepada UAE akan mengubah keseimbangan ketenteraan di Teluk dan mempengaruhi kelebihan ketenteraan Israel.

Sekiranya penjualan berhasil UAE akan muncul negara ke-2 di rantau ini yang mempunyai jet pejuang itu selepas rejim Israel. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Pentadbiran Donald Trump pada Khamis secara tidak formal memberitahu Kongres mengenai rancangan untuk menjual jet tempur canggih kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor agensi berita Xinhua.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Amerika Syarikat (AS) Eliot Engel dalam kenyataan berkata, Kongres perlu menganalisis semua kesan yang mungkin timbul daripada rancangan itu. “Tergesa-gesa membuat penjualan bukan untuk kepentingan sesiapa pun.”

Beliau berkata, potensi penjualan F-35 kepada UAE akan mengubah keseimbangan ketenteraan di Teluk dan mempengaruhi kelebihan ketenteraan Israel.

Beliau juga bimbang mengenai kemungkinan kebocoran teknologi F-35 yang sensitif dan penjualan itu akan membuka ruang permintaan negara Arab lain untuk senjata canggih sebagai pertukaran memulihkan hubungan dengan Israel.

“Dalam beberapa hari lagi, saya mengundang anggota Kongres untuk berkongsi pandangan saya dan bergabung dengan saya dalam memperkenalkan undang-undang untuk memastikan penjualan senjata itu, paling penting ia perlu mematuhi tujuan keselamatan negara,” kata Engel.

Cadangan penjualan itu perlu mendapat kelulusan Kongres.

Menurut laporan media, perjanjian itu akan merangkumi hingga 50 jet F-35 buatan Lockheed Martin dengan kos AS$10.4 bilion. Sekiranya penjualan berhasil, UAE akan muncul negara ke-2 di rantau ini yang mempunyai jet pejuang itu selepas rejim Israel.

Laporan mengatakan perjanjian penjualan F-35 antara syarat untuk memulihkan hubungan antara UAE dan Israel, yang ditandatangani bulan lalu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mulanya menentang perjanjian pembelian itu, tetapi menukar pendirian selepas Amerika berikrar memastikan kelebihan ketenteraan Israel di wilayah tersebut.

Kenyataan bersama Netanyahu dan Menteri Pertahanan Benny Gantz pada Jumaat lalu mengatakan Israel tidak menentang penjualan “sistem senjata tertentu” kepada UAE berdasarkan janji AS untuk memastikan kelebihan di pihak Israel di Timur Tengah.

“Sistem senjata tertentu” dikatakan merujuk kepada jet tempur berteknologi tinggi F-35, lapor media Israel.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan sebaik Gantz kembali dari Washington, selepas bertemu Ketua Pentagon Mark Esper dan menandatangani perjanjian mengenai jaminan kelebihan untuk rejim Israel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.