
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Ketua badan anti-ekstremisme Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan “kebimbangan”berhubung peningkatan ketegangan berkait karikatur satira Nabi Muhammad dan menggesa masyarakat supaya saling menghormati kepercayaan dan pandangan politik yang berbeza.
Miguel Amgel Moratinos, yang mengetuai Perikatan Tamadun PBB, berkata demikian dalam kenyataannya berikutan rasa marah yang tercetus di dunia Islam berhubung kenyataan kerajaan Perancis mengenai pembunuhan seorang guru yang menunjukkan karikatur berkenaan dalam pelajaran mengenai kebebasan bersuara.
Presiden Perancis Emmanuel Macron mempertahankan penerbitan karikatur berkenaan atas asas kebebasan bersuara sekali gus mencetuskan demonstrasi di seluruh dunia Islam serta kempen boikot produk Perancis.
Menurut kenyataan, perwakilan tertinggi PBB “mengikuti dengan penuh kebimbangan perkembangan ketegangan dan suasana tidak bertoleransi yang dicetuskan oleh penerbitan karikatur satira yang menggambarkan Nabi Muhammad.”
“Karikatur yang berbaur hasutan itu juga memprovokasi tindakan ganas terhadap orang yang tidak bersalah yang diserang semata-mata kerana agama, kepercayaan atau etnik mereka,” kata Moratinos tanpa merujuk kepada kenyataan Macron yang mempertahankan karikatur berkenaan.
“Menghina agama dan simbol keagamaan yang suci akan memprovokasi kebencian dan extremisme yang akhirnya menjurus kepada polarisasi dan perpecahan masyarakat,” katanya.