PM Vietnam gesa usaha mencari, menyelamat dipergiat susulan tanah runtuh

PM Vietnam gesa usaha mencari, menyelamat dipergiat susulan tanah runtuh

Banjir dan tanah runtuh dicetuskan hujan lebat sejak sebulan lalu itu berlaku di beberapa kawasan tanah tinggi.

Anggota tentera mengusung mayat yang ditemui dalam timbusan tanah runtuh di wilayah Quang Tri, Vietnam, semalam. (Gambar AP)
HANOI:
Perdana Menteri Vietnam pada Ahad menggesa misi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang ekoran bencana tanah runtuh yang melanda wilayah Thua Thien, Hue dan Quang Tri terus dipergiat.

Nguyen Xuan Phuc berkata banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan hujan lebat sejak sebulan lalu di kawasan tanah tinggi itu sudah meragut beberapa nyawa dan menyebabkan puluhan yang lain hilang.

Katanya, awal minggu ini sahaja 13 pegawai dan tentera yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat serta dua pekerja pembinaan maut manakala 15 lagi dilaporkan hilang di loji kuasa hidro Rao Trang di wilayah Thua Thien.

Sementara itu katanya seramai 22 pegawai dan anggota tentera dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di daerah Huong Hoa, wilayah Quang Tri yang berlaku pada Ahad pagi.

Beliau yang sedih dengan kejadian itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan masih hilang.

Hujan lebat diramal berterusan dalam masa beberapa hari lagi, mencetuskan risiko tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan tanah tinggi di wilayah tengah Vietnam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.