
“Kalau ia bukan genosid, sesuatu yang ‘hampir’ dengannya sedang berlaku di Xinjiang,” kata Robert O’ Brien dalam satu majlis.
AS menyelar layanan kerajaan China terhadap umat Islam Uyghur dan etnik lain di Xinjiang, selain mengenakan sekatan ke atas pegawai yang melakukan penganiayaan.
Setakat ini, AS belum menakrifkan tindakan China sebagai genosid, langkah yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang dan sikap keras terhadap negara berkenaan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menjangka lebih 1 juta umat Islam dikurung di Xinjiang dan aktivis berkata, jenayah kemanusiaan dan genosid sedang berlaku di wilayah itu.
Kerajaan China menafikan pernah melakukan penindasan drngan berkata, kem di wilayah berkenaan memberi latihan vokasional dan membantu membanteras pemikiran melampau.
O’Brien merujuk tindakan kastam AS menyita “sejumlah besar” produk rambut yang dihasilkan daripada rambut manusia dari Xinjiang.
“Kerajaan China muncukur kepala wanita Uyghur dan menggunakannya untuk membuat produk rambut dan menghantarnya ke AS,” katanya.
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata, pada Jun ia menahan penghantaran produk rambut dan aksesori yang berasal dari Xinjiang kerana disyaki dibuat menggunakan rambut manusia melalui amalan buruh paksa.