Golongan kelaparan meningkat 2 kali ganda akibat Covid-19 di Australia

Golongan kelaparan meningkat 2 kali ganda akibat Covid-19 di Australia

Tiga daripada 10 rakyat Australia mengalami masalah keselamatan makanan pada 2020 dan tidak pernah berhadapan masalah itu sebelum Covid-19.

Pelajar antarbangsa dan pekerja biasa paling teruk terjejas akibat penularan wabak Covid-19 di Australia kerana mereka tidak layak mendapat bantuan kerajaan.(Gambar AP)
SYDNEY:
Jumlah penduduk di Australia yang memerlukan sumbangan makanan meningkat hampir 2 kali ganda semasa Covid-19, dengan pekerja biasa dan pelajar antarabangsa paling teruk terjejas, menurut laporan terbaru pada Isnin.

Menurut agensi berita Xinhua yang memetik badan amal terbesar di negara ini, Foodbank, 3 daripada 10 rakyat Australia mengalami masalah keselamatan makanan pada 2020 dan tidak pernah berhadapan masalah itu sebelum Covid-19.

“Laporan itu menyatakan, ketika keperluan untuk bantuan makanan menjadi agak tidak menentu dan tidak dapat dijangka, badan amal melaporkan bahawa permintaan keseluruhan meningkat 47% dan kebanyakan daripada mereka yang kini mengalami kekurangan makanan belum pernah memerlukan bantuan sebelumnya,” kata Xinhua memetik ketua pegawai eksekutif Foodbank Australia, Brianna Casey.

Pekerja biasa, yang mungkin kehilangan pekerjaan akibat pandemik itu, dan pelajar antarabangsa, selalunya tidak layak mendapat bantuan kerajaan, menjadi 2 kumpulan paling terjejas berbanding yang lain.

Golongan muda yang mengalami masalah itu jauh lebih tinggi berbanding generasi lebih berusia, iaitu 65% dalam kalangan mereka berusia 18 hingga 25 tahun akan berlapar sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Sementara pemerintah memperkenalkan pakej kebajikan bertujuan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik, laporan itu mendapati wujud kebimbangan mengenai bagaimana untuk bertahan selepas pembayaran berakhir atau dikurangkan.

Sementara itu, ramai pelajar antarabangsa yang tinggal di Australia semasa pandemik dan juga mereka yang kehilangan pekerjaan dalam beberapa bidang, sebahagian besarnya tidak mendapat bantuan tersebut.

“Disebabkan status visa mereka, sebahagian besar pelajar antarabangsa tidak memenuhi syarat untuk mendapatkan bantuan kerajaan walaupun kebanyakan kumpulan ini kehilangan pekerjaan sejak pandemik bermula,” kata laporan itu.

“Ramai yang berada dalam kedudukan yang sangat sukar, tidak dapat pulang dan bersama keluarga yang mungkin turut berhadapan kesukaran dan tidak dapat membantu mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.