Johor tubuh jawatankuasa keselamatan makanan, jamin bekalan sepanjang pandemik

Johor tubuh jawatankuasa keselamatan makanan, jamin bekalan sepanjang pandemik

Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan bekalan makanan terjamin terutama dalam tempoh pandemik.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Samsolbari Jamali menjangkakan jawatankuasa itu akan diumumkan selewat-lewatnya bulan depan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor akan menubuhkan jawatankuasa keselamatan makanan bagi memastikan sektor pertanian khususnya agro makanan di negeri itu selamat dalam tempoh pandemik.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Samsolbari Jamali berkata, kerajaan negeri kini di peringkat akhir untuk meluluskan jawatankuasa itu.

Katanya, beliau menjangkakan jawatankuasa itu akan diumumkan selewat-lewatnya bulan depan.

“Perkara ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dalam masa terdekat dan bulan ini atau bulan depan ia akan diumumkan nanti.

“Jawatankuasa keselamatan makanan Johor akan dipengerusikan menteri besar dan akan dianggotai wakil agensi berkaitan, pengusaha, pemain industri dan ahli akademik,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Samsolbari berkata, perkara penting akan ditekankan dalam jawatankuasa itu antaranya mengenai soal nisbah penggunaan tanah sektor komoditi-pertanian.

“Antara ditekankan ialah jawatankuasa ini akan mengenal pasti dan teliti semula nisbah penggunaan tanah untuk sektor komoditi dan pertanian di seluruh negeri ini.

“Kita (kerajaan negeri) hendak melihat semula dan teliti nisbah penggunaan tanah yang sebelum ini mungkin tidak seimbang antara komoditi dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan makanan dalam pertanian khususnya agro makanan akan dibincangkan dalam jawatankuasa itu berikutan sumbangan Johor yang banyak kepada negara dalam sektor berkenaan.

“Kita di Johor banyak menjadi pengeluar terbesar sesetengah bekalan makanan dan ramai orang Johor sendiri tidak maklum mengenai perkara ini. Ini juga sebagai usaha menjadikan Johor ‘food basket’ Malaysia,” katanya.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad dalam 1 program bual bicara disiarkan secara langsung sebuah stesen televisyen tempatan bulan lalu, menegaskan sektor keselamatan makanan antara ditekankan kerajaan negeri dan hala tuju mengenai perkara itu sedang diteliti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.