
Dalam kenyataan hari ini SKMM memaklumkan kompaun tertinggi terhadap U Mobile Sdn Bhd dengan 5 kompaun bernilai RM250,000, diikuti Celcom Axiata Berhad dan Tune Talk Sdn Bhd, masing-masing dengan 3 kompaun bernilai RM150,000.
Sementara itu, Maxis Broadband Sdn Bhd dikenakan 2 kompaun bernilai RM100,000 manakala YTL Communication Sdn Bhd dan Tone Plus Sdn Bhd masing-masing dikenakan 1 kompaun bernilai RM40,000 dan RM10,000.
Semua kompaun dikeluarkan itu meliputi kesalahan bawah Seksyen 127 dan dibaca bersama Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100, 000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Tindakan yang diambil itu mencerminkan ketegasan dan komitmen SKMM dalam memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara selain memastikan proses pendaftaran SIM prabayar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Pihak SKMM tidak akan berkompromi dalam hal ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut SKMM, selain tindakan penguatkuasaan, pelbagai langkah proaktif lain turut dilaksanakan antaranya pendaftaran kad SIM menggunakan platform automatik yang sulit dan terjamin dan tidak mendaftarkan nama pelanggan untuk memiliki lebih daripada 5 SIM.