Staf NSTP positif Covid-19 selepas pulang dari PRN Sabah

Staf NSTP positif Covid-19 selepas pulang dari PRN Sabah

Media Prima berkata kakitangan itu menjalani kuarantin sukarela di rumah sejak pulang dari Sabah.

Kakitangan Media Prima lain yang pulang daripada tugasan di Sabah kini sedang menjalani kuarantin sukarela 14 hari di rumah.
PETALING JAYA:
Seorang kakitangan Media Prima Berhad positif Covid-19 selepas pulang daripada tugasan di Sabah pada 30 September lalu, kata syarikat media itu hari ini.

Dalam kenyataan syarikat itu berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pegawai kesihatan kakitangan berkenaan positif Covid-19 dan beliau kini menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

“Kakitangan berkenaan menjalani kuarantin sukarela di rumah sejak pulang dari Sabah, sebelum beliau didapati positif Covid-19,” katanya.

Katanya, kakitangan yang bertugas di The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) itu tidak pernah berada di premis Media Prima sejak pulang dari Sabah.

“Media Prima akan memberikan segala sokongan yang diperlukan kepada kakitangan terbabit,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut semua kakitangan yang pulang daripada tugasan di Sabah menjalani ujian mandatori Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin sukarela 14 hari di rumah.

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan dari 12 hingga 25 September, manakala pengundian pada 26 September.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 206 kes Covid-19 dicatatkan dengan sejarah perjalanan ke negeri itu sejak PRN lalu.

Untuk rekod, jumlah kes terkini Covid-19 berada pada tahap tertinggi, dengan 317 jangkitan dilaporkan pada 3 Oktober dan 293 kes direkodkan semalam.

Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah itu akan kekal meningkat berikutan saringan terhadap kontak rapat pesakit sedang berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.