
Dalam kenyataan hari ini, Suhakam menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu komited merealisasikan pelbagai pembaharuan undang-undang, termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori, pengenalan undang-undang baharu mengenai hak kepada maklumat dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).
Katanya, Liew juga menyedari perlunya kesedaran hak asasi manusia terutama di Parlimen.
“Pada 2019, beliau merealisasikan harapan Suhakam selama 20 tahun supaya laporan tahunan suruhanjaya dibahaskan di Parlimen.
“Laporan Tahunan Suhakam 2018 dibahaskan di Parlimen pada 5 Dis 2019 buat pertama kali sejak 1999 dan ini 1 kejayaan besar dalam usaha berterusan Suhakam mengetengahkan isu hak asasi manusia yang mendesak di negara ini,” katanya.
Suhakam juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang selain menekankan semula komitmennya untuk terus mendorong pembaharuan hak asasi manusia yang dimulakan oleh mendiang.
Liew, 60, meninggal dunia jam 11.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Sabah.
Sebelum ini, berita mengenai kesihatan mendiang mula diperkatakan apabila tersebar beberapa pesanan menerusi laman sosial meminta orang ramai mendoakannya yang didakwa berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru.
Liew yang juga pengerusi tetap Warisan Sabah dilaporkan tidak kelihatan sejak pengumuman calon dan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
Bekas menteri itu berasal dari Kota Belud dan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), meninggalkan isteri, Lindai Lee, bersama 4 anak.