317 jangkitan baru Covid-19, lepasi angka 12,000 kes

317 jangkitan baru Covid-19, lepasi angka 12,000 kes

121 pesakit disahkan pulih hari ini.

PUTRAJAYA:
317 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, yang merupakan angka jangkitan harian tertinggi sejak wabak itu melanda negara ini, sekali gus melepasi angka 12,000 kes setakat ini.

Dalam pada itu 121 pesakit disahkan pulih hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 317 kes yang dicatatkan hari ini semuanya melibatkan penularan dalam negara.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 12,088 kes Covid-19 dengan 10,216 daripadanya sembuh.

Seramai 1,735 pesakit kini dirawat di hospital di seluruh negara.

Satu kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian 137 orang.

Sementara itu, 29 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 4 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 317 kes baru, 37 kes merupakan individu yang pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 sebanyak 176 kes,” kata Noor Hisham.

Beliau berkata, negeri yang mencatat jumlah tertinggi kes baru hari ini ialah Sabah membabitkan 155 jangkitan, diikuti Kedah 102 dan Selangor 32 kes.

“Di Sabah 155 kes baru dilaporkan, dengan 100 kes saringan bergejala yang melibatkan 96 warganegara dan 4 bukan warganegara; 35 kes daripada kluster Bangau-Bangau melibatkan 33 warganegara dan 2 bukan warganegara; 10 kes daripada kluster Benteng LD melibatkan warganegara; 4 kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara; 3 kes daripada kluster Laut, 2 kes daripada kluster Joo Hwa dan 1 kes daripada kluster Buang Sayang.

“Sementara di Kedah, 102 kes dilaporkan hari ini, dengan 97 kes daripada kluster Tembok yang kesemuanya melibatkan 93 warganegara dan 4 bukan warganegara; 2 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah; 2 kes daripada kluster baru iaitu kluster Bah Lunas dan 1 kes daripada kluster Bah Ketil yang melibatkan warganegara,” katanya.

Di Selangor 32 kes baru dicatatkan melibatkan 15 saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah, 12 daripada kluster Jalan Meru, 3 daripada kluster baru, iaitu kluster Jelok dan 2 saringan kontak rapat.

”Di Terengganu 9 kes dilaporkan dengan 7 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah yang kesemuanya melibatkan warganegara, 1 kes saringan kontak rapat kes positif dan 1 kes saringan di pintu masuk (domestik dan antarabangsa).

Sementara itu di Wilayah Kuala Lumpur terdapat 4 kes baru, Johor (4), Pulau Pinang (3) kes, Sarawak (3), Kelantan (2), Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan (1).

KKM sedia hadapi peningkatan kes

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, KMM bersedia menghadapi peningkatan kes hasil tindakan aktif di lapangan mengesan penularan.

“Malahan trend meningkat jumlah kes harian ini adalah hasil tindakan pengesanan aktif dan agresif di lapangan untuk mengekang penularan Covid-19.

“Antara tindakan yang dijalankan, termasuk pengesanan kontak rapat, iaitu ‘active case detection’ (ACD) bagi kes positif, perintah kawalan diperketatkan (PKPD), saringan bersasar di 4 daerah perintah kawalan diperketatkan bersasar (PKPDB) di Sabah dan saringan pengunjung pulang dari Sabah di setiap pintu masuk.

Antara saringan dijalankan adalah ke atas warga emas di rumah jagaan, saringan tahanan imigresen dan saringan petugas kesihatan dan aktiviti surleven melalui pemantauan kes “Influenza-Like Illness” (ILI), “Severe Acute Respiratory Illness” (SARI), saringan pra pembedahan dan aktiviti survelan lain di lapangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.