
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Muhammad Haziq Azfar Ishak berkata, beliau kesal dengan pengumuman berkenaan yang “sudah terlewat” dan menyukarkan pelajar membuat perancangan baru selepas kembali ke kampus.
“Sudah 2 kali KPT keluarkan kenyataan. Pertama membabitkan pelajar dari zon merah dan kini penangguhan pendaftaran semua pelajar.
“Setiap arahan perlu dibuat secara terperinci bagi mengelakkan perkara yang terjadi kepada pelajar dari Sabah sebelum ini.

“Langsung tidak diberitahu apakah tindakan Putrajaya sekiranya ada pelajar dari Sabah sudah sampai lebih awal ke kampus dan memang ada pelajar yang hubungi kita meminta bantuan memandangkan ada antara mereka mempunyai masalah kewangan.
“Kita faham ini membabitkan urusan kesihatan pelajar, tetapi caranya tidak sesuai dan memberi kesan lain. Pelajar dari Sabah tidak ada tempat tinggal dan tidak disediakan juga tempat kuarantin buat mereka yang sudah tiba di sini,” katanya kepada FMT.
Haziq berkata, beliau sendiri menyarankan kepada mana-mana pelajar yang belum tiba di universiti untuk terus kekal di lokasi asal mereka, walaupun menyedari proses pendaftaran bagi pelajar di UM bermula esok.
Hari ini, KPT mencadangkan supaya semua IPT menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baru dan lama susulan peningkatan kes Covid-19.
KPT menyarankan semua urusan pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga akhir bulan ini atau sehingga pengumuman baru mengenainya dibuat.
Pada 27 Sept KPT menyarankan supaya IPT menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baru dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
Pada ketika itu, lokasi zon merah Covid-19 adalah di Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.
Yang di-pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu Nur Aina Zafirah Noor Azhar berkata, arahan KPT hari ini disambut dengan rasa kecewa oleh ramai pelajar.

“Ada pelajar yang mengeluh kerana mereka sudah membeli tiket bas dan sebagainya dan ada pelajar dari Sabah juga sudah tiba.
“Jadi kita minta mereka yang dari Sabah, yang berada di luar kampus mengambil langkah kuarantin diri selama 14 hari, hinggalah disahkan bebas Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19.
Semalam, negara mencatatkan 260 kes baru dengan 259 daripadanya merupakan jangkitan tempatan.
Ia adalah angka jangkitan baru harian ke-2 tertinggi, berbanding 277 kes yang direkodkan pada 4 Jun lepas yang sebahagian besarnya melibatkan warga asing yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresesn Bukit Jalil (DTI).
Semakan di laman sosial Twitter mendapati pelajar IPT yang mengeluh berhubung keputusan mengejut KPT hari ini, antaranya @wafanadira96 yang runsing melihat bapanya memberitahu tidak mampu untuk membantunya dari sudut kewangan.
“Sangat menyedihkan, minta maaf ayah. Kalaulah kakak tidak masuk untuk belajar. Tidak ada mood seharian bila tengok ayah sendiri sedih fikirkan duit, fikirkan pelajaran anak-anak. Saya minta maaf ayah,” katanya.
Manakala pengguna Twitter @ashrafzailani berkata, terdapat rakannya yang menunggang motosikal lebih 2 jam, namun setibanya di pintu pagar IPT, mereka tidak dibenarkan masuk.
“Seorang baru sampai naik motor dengan 2 jam setengah perjalanan, seorang dari Putrajaya. Baru sampai dekat ‘gate’ selepas beberapa minit KPT keluar arahan. Diorang tak di benarkan masuk dan disuruh balik. Hahaha KPT ‘mantap’,” katanya.