
Muhyididin berkata, golongan Bumiputera tidak boleh lagi berada di takuk lama dan perlu mengharungi norma baru, apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.
“Kita mesti sedar bahawa mahu tidak mahu kaum Bumiputera mesti bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi dunia terkini.
“Ini termasuklah merangka dan mewujudkan ekosistem Bumiputera lebih positif, berdaya saing dan kompetitif dalam arus teknologi yang berkembang pesat,” katanya pada Kongres Ekonomi Bumiputera di sini, hari ini.
Pada masa sama, Muhyiddin memberi jaminan akan meneliti setiap 13 resolusi yang dikemukakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2020, antaranya untuk memperkasa masyarakat Orang Asli, supaya setara dengan orang Melayu dan lain-lain.
“Meskipun pelbagai kejayaan sudah dicapai oleh kaum Bumiputera di Malaysia, kita sedar masih banyak hal yang perlu diperbaiki dan ditambah baik,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau percaya sudah tiba masanya untuk penerima manfaat Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini membalas budi dengan membantu generasi akan datang.
“Contohnya dalam bidang perniagaan yang merupakan peluang terbaik untuk generasi terdahulu membantu menyediakan batu asas kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti modal mentor atau “mentor capital” serta modal rangkaian,” katanya.
Tambahnya, bagi memastikan kelangsungan komuniti Bumiputera dalam jangka masa panjang, mereka mestilah mempunyai semangat saling bantu-membantu sesama sendiri.
“Semangat kekitaan dalam komuniti Bumiputera mestilah diterapkan untuk mewujudkan sebuah kitaran masyarakat yang turut mengambil berat terhadap generasi masa hadapan,” katanya.
Jelas Muhyiddin, sebuah jawatankuasa pelaksana bersama akan dibentuk antara Putrajaya dan Majlis Perundingan Melayu (MPM), dan akan diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
“Selepas itu, kita akan melihat mana satu yang boleh kita dahulukan, sudah pasti dalam situasi yang sukar dan mencabar sekarang, bukan sahaja di pihak kerajaan, tetapi juga di pihak lain, apatah lagi Bumiputera.
“Situasi begini memerlukan dukungan dan kerjasama rapat, tetapi dengan adanya gandingan bersama yang baik dan hubungan akrab, maka saya fikir yang berat akan menjadi ringan,” katanya.