Tiada TKM, menteri Cina kerana semua calon ditolak rakyat Sabah, jawab Annuar Musa

Tiada TKM, menteri Cina kerana semua calon ditolak rakyat Sabah, jawab Annuar Musa

Semua pihak diseru menghormati pilihan rakyat Sabah.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, secara tradisi, seorang wakil rakyat berketurunan Cina akan dilantik menjadi timbalan ketua menteri Sabah di samping 2 Bumiputera lain, tetapi semua calon golongan itu tewas dalam PRN lepas.
PUTRAJAYA:
Annuar Musa menyeru semua pihak menghormati pilihan rakyat Sabah menolak calon Cina Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya baru-baru ini, menjawab isu ketiadaan menteri negeri atau timbalan ketua menteri berketurunan Cina dalam Kabinet Hajiji Noor.

Setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu mengakui secara tradisi, seorang wakil rakyat berketurunan Cina akan dilantik menjadi timbalan ketua menteri di samping 2 Bumiputera lain.

“Tetapi rakyat sudah buat pilihan, kena hormat mereka. Kebetulan pula wakil rakyat dari keturunan Cina ada dalam pembangkang,” katanya pada sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Annuar berkata, BN sedar tentang ketiadaan Adun Cina di pihak kerajaan Sabah dan situasi itu disuarakan kepada parti-parti sekutu.

“BN letak 5 orang calon tetapi semuanya kalah juga,” tambahnya.

Pengerusi PPBM Sabah, Hajiji Noor, mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah ke-16 pada Isnin, diikuti pelantikan 3 timbalan iaitu Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin; Presiden STAR, Jeffrey Kitingan; dan Naib Presiden PBS, Joachim Gunsalam.

Permohonan cadangan monorel Putrajaya dibuka 3 bulan lagi

Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata, permohonan cadangan (RFP) bagi projek pembinaan monorel di Putrajaya akan dibuka bagi penyertaan awam dalam tempoh selewat-lewatnya 3 bulan lagi.

Beliau berkata, pelaksanaan RFP membolehkan syarikat swasta yang berminat mengemukakan cadangan kos mereka, memandangkan pelaksanaan monorel itu mempunyai pilihan yang berbeza, bergantung pada teknologi yang akan digunakan.

“Jemaah Menteri minta Kementerian Wilayah Persekutuan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan. Mesyuarat sudah diadakan kira-kira 2 minggu lalu dan mengambil ketetapan dan persetujuan supaya Kementerian Wilayah Persekutuan melakukan tindakan susulan.

“Ia bagi mendapatkan cadangan daripada pihak swasta. Kita akan kaji kemungkinan projek ini diteruskan dengan kerjasama swasta dan kerajaan. Kita berhasrat untuk laksanakan projek monorel di Putrajaya ini,” katanya.

Annuar berkata, pembinaan monorel di Putrajaya sebenarnya sudah dijalankan separuh jalan, dengan infrastruktur asas seperti terowong dan jambatan sudah dibina, namun pembinaan itu melibatkan kos yang tinggi.

“Putrajaya perlukan pengangkutan awam yang baik dan moden, selaras dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran negara.

“Kita setuju untuk terima cadangan daripada pelbagai pihak yang sudah nyatakan hasrat mereka sebelum ini,” katanya.

Pada April lalu, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengesahkan bahawa kerajaan akan meneruskan laluan monorel yang sebelum ini ditangguhkan pada pertengahan 2004.

Mengikut perancangan asal, monorel berkenaan dicadangkan mempunyai 2 aliran, iaitu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan sebuah lagi sepanjang 6km dengan 6 stesen.

Pembangunan fasa pertama projek itu membabitkan sistem pengangkutan monorel bawah tanah dan jejantas sepanjang 8km menghubungkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Presint 3 ke Kementerian Pendidikan di Kompleks E.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.