
China berdepan kecaman berhubung layanannya terhadap umat Islam Uyghur dan dakwaan berhubung amalan buruh paksa di Xinjiang, di mana PBB memetik laporan yang boleh dipercayai mengatakan terdapat 1 juta umat Islam ditahan dalam kem dan bekerja secara paksa.
China berulang kali menafikan dakwaan itu dan menyatakan kem berkenaan adalah pusat latihan vokasional untuk menangani ekstremisme, dan mendakwa ia adalah tuduhan pihak anti-China yang memburuk-burukkan dasar Xinjiang.
“Perasaan terhadap kejayaan, kebahagian dan keselamatan dalam kalangan penduduk semua kumpulan etnik (di Xinjiang) meningkat secara berterusan,” kata Xi pada persidangan Parti Komunis Xinjiang, lapor Xinhua.
Xi berkata, perlu untuk mendidik penduduk Xinjiang mengenai pemahaman terhadap bangsa China dan membimbing “semua etnik untuk mewujudkan perspektif yang betul mengenai negara, sejarah dan kewarganegaraan”.
Pada Julai, Washington mengenakan sekatan ke atas pegawai China atas tuduhan pelanggaran hak asasi manusia terhadap Uyghur, yang membolehkn kerajaan AS menyasarkan mana-mana pihak yang melakukan pencabulan hak asasi manusia dengan membekukan sebarang aset AS, melarang perjalanan ke AS dan mengehadkan rakyat AS daripada melakukan perniagaan dengan mereka.