Nur Syafeeyah bersyukur nasi ayamnya digemari ramai

Nur Syafeeyah bersyukur nasi ayamnya digemari ramai

Nikmati keenakan resepi nasi ayam Hainan asli di Warung Nasi Ayam Mualaff.

Ayam Hainan, resepi turun temurun yang asli.

‘Tuan ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Perumpamaan ini sememangnya tepat buat pemilik Warung Nasi Ayam Mualaff, Nur Syafeeyah Seow Binti Abdullah, 39 tahun.

Warung Nasi Ayam Mualaff di Saujana Utama, Sungai Buloh dibuka setiap hari kecuali isnin.

Terletak di Saujana Utama, Sungai Buloh, warung berkonsepkan pondok buluh beratap daun rumbia ini bukan hanya indah dengan rekaan ala kampung semata.

Malah, suasana tenang sekitar disertai permandangan kolam ikan yang nyaman pasti membuai perasaan apabila menikmati makanan di sini.

Lebih asyik bila sesekali ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Nur, suami dan Alif anak saudara yang membantu di warungnya.

Bermula dengan modal yang kecil, Nur mula membuka perniagaan nasi ayam Hainan bersama suami, Sahlan Bin Solekan 49, dua tahun yang lalu.

Segalanya agak sukar pada mulanya bila modal terpaksa dibuat pusingan setiap hari dengan untung yang tidak seberapa, Nur hampir patah semangat beberapa kali.

Namun, pujukan dan dorongan suami menguatkan lagi semangat wanita mualaf ini untuk meneruskan perniagaan tanpa perlu mengundur.

“Masa mula-mula buka kedai, nak jual seekor ayam pun susah. Pelanggan tak ramai. Tapi lama-kelamaan alhamdulillah, pelan-pelan pelanggan datang. Ramai yang kata sedap, mereka promosi beritahu keluarga dan kawan-kawan. Ada juga yang datang berulang kali,” kata Nur.

Nur bersama pelanggan yang berkunjung ke warungnya.

“Saya tak pandai buat iklan tetapi pelanggan yang datang adalah yang dengar dari cerita mulut ke mulut. Sahabat-sahabat saya juga banyak membantu dan banyak memberikan kata-kata semangat,” jelas Nur yang memeluk Islam pada tahun 2016.

Menurut Nur, semuanya bermula apabila seorang kawan menawarkan Nur dan suami untuk membuka sebuah kedai makanan.

“Mulanya kami nak berniaga Yong Tau Foo. Tiga hari kami belajar cara membuatnya tetapi masih tak dapat hasil yang memuaskan,” jelas suaminya.

“Kemudian, Nur belajar buat nasi ayam Hainan dari ibu kawannya. Memang auntie tu membesarkan anak-anaknya dengan menjual nasi ayam Hainan. Rezeki Nur belajar tanpa sebarang bayaran,” kata Shahlan lagi.

Antara pelanggan yang datang menikmati hidangan nasi ayam Hainannya.

Dari situlah bermulanya Nur dan suami membuka Warung Nasi Ayam Mualaff dan sehingga ke hari ini, cerita mengenai kesedapan nasi ayam Hainan ini tersebar luas, warungnya sentiasa dipenuhi pelanggan.

Kolam pancing ikan yang terletak bersebelahan dengan Warung Nasi Ayam Mualaff.

Rezeki pasangan ini terus melimpah bila kolam pancing ikan yang terletak bersebelahan warungnya dibuka pada bulan 12, 2019 yang lalu. Pelanggannya bertambah sehingga kadang-kala mereka terpaksa menutup warung lebih awal kerana kehabisan makanan.

“Alhamdulillah, sekarang kami jual sehingga 10 ekor ayam sehari. Pelanggan pula tidak putus-putus. Tempahan dari Food Panda juga banyak. Memang tidak menang tangan dibuatnya. Tetapi itulah yang dinamakan rezeki. Syukur,” jelas Nur.

Nasi ayam Hainan bersama menu sampingannya.

Warung Nasi Ayam Mualaff ini menjual nasi ayam Hainan sebagai menu utama disertakan dengan menu sampingan seperti pak choi, bendi, sayur taugeh dan tauhu stim. Tidak sah jika tidak disulam bersama air teh bunga istimewa warung ini.

Antara yang istimewa di sini, air teh bunga sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

Sekiranya anda berada di Selangor dan ingin menikmati nasi ayam Hainan, bolehlah singgah ke Warung Nasi Ayam Mualaff yang dibuka dari 12.30tengahari sehingga 6.30petang. Dengan harga yang berpatutan, rasailah sendiri keenakannya.

Tutup: Isnin
Pelanggan boleh membuat tempahan melalui Food Panda atau hubungi talian: 018-272 7747 atau 013-676 6120

Lokasi:
Warung Nasi Ayam Mualaff
P.T 1915, Saujana Utama
Sungai Buloh

Harga:
Nasi ayam Hainan: RM5.30
Sayur taugeh: RM3.00
Sayur bendi: RM5.00
Tauhu Stim: RM5.00
Pak Choi: RM4.00
Air teh bunga: RM1.50

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.