PBS dakwa ‘parti kapal’ pancing Adun barunya

PBS dakwa ‘parti kapal’ pancing Adun barunya

PBS berkata parti itu dijadikan sasaran fitnah susulan kemelut pelantikan calon ketua menteri Sabah yang sehingga kini masih belum diketahui.

PBS yang menganggotai pakatan GRS memenangi 7 kerusi pada pilihan raya Sabah.
PETALING JAYA:
Parti Bersatu Sabah (PBS) mendakwa “parti kapal” berusaha memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang baru dipilih sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini PBS berkata, parti itu dijadikan sasaran fitnah, susulan kemelut pelantikan calon ketua menteri Sabah.

Katanya, individu tertentu daripada “parti kapal” mula menghubungi pemimpin PBS, bertujuan untuk membeli kerusi.

“Mereka sanggup menawar duit dan jawatan untuk YB (Yang Berhormat) PBS,” katanya.

Menyatakan Warisan Plus perlu menyedari PBS bukan parti yang baru ditubuhkan semalam dan akan tetap berpegang pada prinsip, selain akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kapal adalah logo bagi Warisan. FMT cuba mendapatkan pengesahan daripada PBS berhubung dakwaan itu.

Terdahulu, Ketua Penerangan PBS Joniston Bangkuai menafikan dakwaan parti itu akan menyertai Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan negeri Sabah yang baharu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, PBS berjaya memperoleh kemenangan di 7 kerusi ditandingi mereka iaitu di Matunggong, Tandek, Tamparuli, Kiulu, Lumadan, Kundasang dan Telupid.

GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS menang 38 daripada 73 kerusi dipertandingkan.

Warisan, PKR dan Upko pula memenangi 32 kerusi, manakala 3 dikuasai calon bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.