
Binsin, ketua kampung di Kampung Malangang di sini berkata, beliau hanya mengharapkan pembangunan dan kemudahan lebih baik di kampung itu.
“Kepada siapa juga yang menang, itulah harapan kami. Penduduk yang tinggal lebih jauh ke dalam (kampung) tidak ada bekalan elektrik.
“Kami berharap mereka juga mendapat bekalan elektrik pada masa depan,” katanya kepada FMT selepas membuang undi di SK Malangang Baru di sini, hari ini.
Binsin, yang juga merupakan pesawah berkata, pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung hari ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, sekali gus mengulangi harapan untuk melihat kampung itu dibangunkan.
“Rasa biasa sahaja, selain SOP Covid-19.”
Kerusi Kiulu menyaksikan pertandingan 6 penjuru dengan 2 tokoh utama yang terlibat, iaitu penyandang kerusi selama 2 penggal dan juga ketua penerangan PBS Joniston Bangkuai dan presiden Upko Wilfred Madius Tangau, ahli Parlimen Tuaran, di mana terletaknya Kiulu.
Tangau merupakan timbalan ketua menteri dalam pentadbiran kerajaan lepas berikutan lantikannya sebagai Adun.
Calon lain termasuk Rosalyn Gelunu dari LDP, Andau Yasun (PCS) serta 2 calon Bebas, Dominic Yasun dan Jolianis Lampog.
Bangkuai membuang undi bagi kerusi Kiulu kira-kira jam 11.40 pagi tadi disertai isteri Lucy Irene Yong di pusat mengundi SK Malangang Baru.
Dalam pada itu Tangau membuang undi di SMK Tun Fuad Stephens di Kiulu pada jam 10.10 pagi.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah