NGO bidas Zuraida lantik ‘ahli majlis tempatan sendiri’

NGO bidas Zuraida lantik ‘ahli majlis tempatan sendiri’

NGO terbabit menggesa SPRM memulakan siasatan ke atas Zuraida kerana penyalahgunaan kuasa.

Sebuah NGO menyoal sama ada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin bertindak melampaui bidang kuasanya.
PETALING JAYA:
Satu kumpulan kerajaan tempatan mempersoalkan keputusan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk melantik penggerak komuniti dalam majlis tempatan dengan berkata, beliau mungkin bertindak melampaui bidang kuasanya sebagai menteri.

Kementerian itu berkata, Dasar Komuniti Negara digubal untuk “memupuk suasana harmoni dan mampu diri” dalam kalangan komuniti tempatan.

Bagaimanapun, kumpulan Gabungan Demokrasi Tempatan mempersoalkan sekiranya tindakan melantik wakil (yang dikenali sebagai PEKT) merupakan penyalahgunaan kuasa untuk manfaat politik.

Jawatankuasa pemandu kumpulan itu berkata, perlembagaan persekutuan menyenaraikan peranan yang berbeza bagi kerajaan persekutuan dan negeri.

Ia berkata, pelantikan “ahli majis sendiri” melampaui peranan asal kementerian tersebut, yang hanya berperanan untuk melihat semua undang-undang berkait pelaksanaan fungsi majlis perbandaran oleh kerajaan dalam isu perumahan, landskap, pengurusan sisa pepejal dan sebagainya.

Kumpulan tersebut, yang dikenali sebagai Dekat, mahu semua ahli majlis tempatan dipilih oleh pembayar cukai melalui pemilihan majlis tempatan.

Pada masa ini, semua ahli majlis di semua pihak berkuasa tempatan dilantik.

“Zuraida perlu menjelaskan kepada masyarakat awam mengenai alasannya berhubung pelantikan bersasaran itu dan jumlah bajet yang diperuntukkan kepada dasar komuniti,” katanya.

21 pihak berkuasa tempatan yang wakil komuniti dilantik berada di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH).

Kumpulan tersebut menggesa semua kerajaan negeri supaya membantah keputusan kementerian itu, sementara kerajaan negeri yang dikuasai oleh PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang harus mengambil tindakan undang-undang terhadap Zuraida dan kementeriannya bagi menghentikan tindakan tersebut.

Ia juga menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka siasatan terhadap Zuraida kerana penyalahgunaan kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.