
“Keputusan bukannya terserah pada Bung untuk putuskan sama ada Sabah atau Sarawak boleh dapat royalti minyak 20% atau tidak,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah kepada FMT.
“Sama ada Sabah atau Sarawak dapat royalti minyak 20% sepenuhnya, itu bergantung pada keputusan eksekutif. Sekiranya perdana menteri bersetuju, maka ia akan berlaku. Oleh itu, saya anggap kenyataan beliau sebagai pendapat peribadinya sahaja,” tambahnya.
Beliau mengulas kenyataan Bung baru-baru ini bahawa adalah mustahil bagi Sabah dan Sarawak untuk mendapat royalti minyak 20% daripada Putrajaya.
“Kami membuat kajian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 berhubung royalti minyak dan mustahil kita boleh dapat 20% daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Jeniri Amir berkata, tidak realistik bagi Sabah dan Sarawak untuk menuntut royalti minyak 20% daripada Petronas.
“Siapakah yang tidak mahu diberi royalti minyak 20%? Sudah tentu kita orang Sarawak mahu Petronas beri kita royalti minyak 20%, tetapi adakah ia bermanfaat untuk kelestarian syarikat minyak nasional itu pada masa depan?” soalnya.
Jeniri, yang merupakan felo kanan Majlis Profesor Malaysia (MPN) berkata: “Ia mungkin menguntungkan Sabah dan Sarawa,k tetapi ia tidak akan memberi manfaat kepada Petronas.
“Bolehkah anda bayangkan impaknya kepada Petronas sekiranya Sarawak dan Sabah mendapat royalti minyak 20% dan cukai jualan 5% untuk produk petroleum?
“Tidak ada gunanya kita tuntut royalti minyak 20% kerana kalau Petronas menderita, Sarawak juga akan menderita.
“Ia mesti situasi menang-menang. Jangan musnahkan sesuatu yang beri keuntungan kepada kita,” katanya, dengan menambah isu itu tidak seharusnya dipolitikkan.
Walaupun DAP berjanji untuk memberikan royalti minyak 20% kepada Sabah dan Sarawak, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menunaikan janji tersebut kerana kos pengeluaran dan operasi yang tinggi, katanya kepada FMT.
Katanya, Sarawak perlu bersyukur kerana Petronas bersetuju untuk membayar cukai jualan 5% kepadanya.
Malah Petronas, katanya, perlu mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam industri minyak dan gas.