
“Pelabur akan rasa keadaan tidak menentu apabila hari ini kerajaan lain, esok kerajaan lain pula, lusa tukar kerajaan lain lagi. Saya harap kalau Anwar ada (majoriti), buktikan dia betul-betul mempunyai cukup bilangan dan kita putuskan perkara itu.
“Tunjuk bukti dan kita sanggup pergi ke Dewan Rakyat nak dengar siapa yang dapat sokongan dan siapa yang tidak mendapat sokongan,” katanya selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Penggerak Pelancongan dan Pengusaha Hotel Langkawi hari ini.
“Anwar dulu pernah buat dakwaan dia ada majoriti, sama juga selepas saya letak jawatan sebagai perdana menteri apabila Yang di-Pertuan Agong minta nyatakan pendirian, dia (Anwar) dakwa ada majoriti sehingga Pakatan Harapan (PH) beri namanya kerana anggap ada majoriti, tetapi tidak cukup sebab memang tak ada pun majoriti.”
Rabu lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.
Ditanya sama ada Pejuang yang diketuainya akan menyokong Anwar jika beliau memiliki majoriti mencukupi, Mahathir berkata: “Anwar dah tolak Pejuang (semasa pengumuman baru-baru ini)…dia kata ada majoriti kecuali Dr Mahathir.
“Jadi, saya ini ditolak terus. Jadi, macam mana saya nak sokong dia? Dia dah tolak kita awal-awal lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PPBM Negeri Sembilan, Eddin Syazlee Shith senada dengan Mahathir dengan berkata Anwar perlu mengemukakan bukti kukuh jika benar beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen bagi menukar kerajaan sedia ada.
“Saya tak tahu apa asasnya dakwaan itu dibuat, tetapi saya tengok beliau (Anwar) hanya berseorangan dengan Dr Wan Azizah (Wan Ismail) saja.
“Sekiranya dibuktikan barulah kita terima. Dakwaan sesiapa pun boleh buat dakwaan,” kata timbalan menteri kerja raya itu selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F kali ke-7 di Seremban hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan negara bekerja keras memerangi pandemik Covid-19, sekarang bukan masa sesuai untuk pertukaran kerajaan.
Di Kulai, Johor pula, Presiden MIC, SA Vigneswaran menyifatkan situasi negara sedang berdepan cabaran Covid-19, menjadikan masanya tidak sesuai untuk sebarang pertukaran kepimpinan kerajaan atau pilihan raya umum.
“Negara kita kini mempunyai rekod positif berhubung pengendalian kes Covid-19. Jadi, jika ditanya adakah sekarang masa sesuai untuk mengadakan PRU, jawapan saya adalah tidak,” katanya selepas merasmikan Konvensyen MIC Johor hari ini.