Henti aniaya peguam wakili banduan hukuman mati Malaysia, LFL beritahu Singapura

Henti aniaya peguam wakili banduan hukuman mati Malaysia, LFL beritahu Singapura

Ia susulan tindakan tribunal disiplin Persatuan Undang-undang Singapura mendenda M Ravi sebanyak S$10,000 berikutan aduan daripada peguam negara negara itu mengenai sidang media pada Julai 2019.

Rakyat Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam dijatuhkan hukuman mati di Singapura selepas disabitkan bersalah mengedar dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) mengecam kerajaan Singapura dan mendakwa ia menganiaya peguam M Ravi, yang mewakili Nagaenthran K Dharmalingam, rakyat Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati di negara itu.

Ia selepas Ravi didenda S$10,000 oleh tribunal disiplin Persatuan Undang-undang Singapura berikutan satu aduan daripada peguam negara di sana mengenai sidang media yang diadakan peguam itu dan LFL pada Julai 2019.

Dalam sidang media itu, Ravi mengkritik Singapura kerana merancang untuk menjalankan hukuman mati ke atas Nagaenthran, yang disabitkan bersalah mengedar dadah, dengan berkata anak guamnya menghidap penyakit mental dan dengan IQ hanya 69, dia kurang memahami situasi yang dihadapinya.

Penasihat LFL, N Surendran berkata, Singapura menyasarkan Ravi kerana mengkritik dan menuntut keadilan buat rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai mengejutkan serta tidak boleh diterima.

Beliau dalam kenyataan hari ini menggesa Singapura menarik balik denda ke atas Ravi dan membatalkan penemuan bersalah terhadapnya.

Beliau berkata, sepatutnya tiada lagi cubaan untuk mencampur tangan, intimidasi atau menutup mulut peguam.

Peguam Singapura, M Ravi.

“Ravi ialah peguam keluarga Nagaenthran. Oleh itu, ini ialah campur tangan serius pihak berkuasa Singapura terhadap hak Nagaenthran dan keluarganya untuk mendapatkan nasihat dan bantuan guaman.

“Hukuman tidak berasas yang dikenakan kepada Ravi oleh pihak berkuasa Singapura melanggar norma undang-undang antarabangsa dan juga Perlembagaan Singapura.

“Perkara 9 Perlembagaan Singapura memperuntukkan hak untuk mendapat perbicaraan adil. Menghukum peguam keluarga Nagaenthran kerana menjalankan tugasnya menjejaskan hak ini.”

Surendran turut menyeru Singapura menghormati hak banduan dijatuhkan hukuman mati untuk mendapatkan nasihat dan bantuan guaman.

“Kita menggesa kerajaan Malaysia membuat bantahan sewajarnya kepada kerajaan Singapura atas intimidasi berterusan ke atas penasihat undang-undang keluarga Nagaenthran.”

Firma Ravi diserbu polis Singapura awal tahun ini, di mana menurut LFL, ia ada kaitan dengan kesnya membela banduan Malaysia yang dijatuhkan hukuman mati di republik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.