Najib mohon lanjut masa fail petisyen rayuan kes SRC International

Najib mohon lanjut masa fail petisyen rayuan kes SRC International

Peguam Najib Nur Syahirah Hanapiah berkata beliau telah menulis kepada mahkamah untuk memohon lanjutan masa.

Najib Razak dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap pertuduhan rasuah melibatkan RM42 juta milik SRC International.
PETALING JAYA:
Najib Razak memohon lanjutan masa untuk mengemukakan petisyen rayuan terhadap sabitannya atas 7 pertuduhan rasuah berkait dana RM42 juta milik SRC International.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashraf Adrin Kamaril berkata, timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Darmafikri Abu Adam akan memaklumkan pihaknya mengenai keputusannya hari ini atau esok.

“Pihak pembelaan membuat pemohonan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan.

“Timbalan pendaftar akan memberikan keputusan selepas mendapat arahan,” kata Ashraf kepada wartawan selepas pengurusan kes hari ini.

Ashraf berkata, pengurusan kes lain akan diadakan pada 2 Oktober.

Peguam Najib, Nur Syahirah Hanapiah berkata, beliau telah menulis kepada mahkamah untuk memohon lanjutan masa.

“Kami menerima rekod rayuan pada 17 September dan tarikh akhir 10 hari akan tamat pada 28 September,” katanya.

FMT difahamkan rekod rayuan itu mengandungi 112 jilid.

Pada 28 Julai lalu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara kepada bekas perdana menteri itu dan mengarahkan beliau membayar denda RM210 juta.

Nazlan mendapati Najib bersalah dalam penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.