
Pernahkah anda ke Taman Burung Kuala Lumpur? Taman burung terbesar di dunia ini menempatkan lebih daripada 3,000 ekor burung.
Tetapi tahukah anda bahawa di Taman Burung ini juga terdapat sebuah restoran terkenal yang sangat menarik iaitu Hornbill Restoran & Kafé, restoran berkonsepkan rumah kampung, menyajikan pelbagai jenis makanan tempatan dan barat yang sungguh lazat.

Berada di sini, anda seolah-olah berinteraksi dengan kicauan burung sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan udara segar yang nyaman. Anda boleh memilih untuk makan di dalam diruang berhawa dingin atau bersantai diluar di beranda terbuka sambil melihat permandangan indah Burung Enggang Badak.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Promosi Taman Burung Kuala Lumpur, Taufik Mohd Sharif, Restoran Hornbill & Café ditubuhkan pada tahun 2000.
“Sebelum ini ia merupakan sebuah restoran makanan segera. Sebelum Covid-19 melanda, kebanyakan pelawat kami terdiri daripada pelancong asing, oleh itu kami ingin memberi mereka pengalaman berada di Malaysia. Itulah sebabnya kami menyediakan hidangan seperti Nasi Goreng Malaysia, Mee Goreng Mamak, Laksa Sarawak, Pisang Goreng dan Keropok Lekor sebagai pengalaman kepada mereka di dalam menikmati dan merasai kuliner tempatan,” katanya.
Restoran ini juga dibuka kepada mereka yang hanya ingin menikmati makanan enak tanpa perlu melawat taman burung.
Sememangnya menu di sini amat menggamit selera di tambah dengan gabungan minuman dingin ‘Coconut Shake’ dari kombinasi air kelapa dan aiskrim ini pastinya menyegar dan menghilangkan dahaga anda.


Jangan lupa untuk mencuba Sate istimewa dan Chicken Chop yang menjadi pilihan ramai pengunjung.

Tetapi jika anda penggemar Laksa Sarawak di sinilah tempat terbaik untuk anda. Anda juga boleh mencubanya bersama sambal buatan sendiri.
Menurut Taufik juga, orang Sarawak suka dengan hidangan Laksa Sarawak yang disajikan di restoran ini.

Selain itu Mee Goreng Mamak dan Nasi Goreng Malaysia juga antara hidangan istimewa yang menjadi kegemaran pengunjungnya.

Nasi Goreng Malaysia yang sering dihidangkan kepada pelancong yang berkunjung ke restoran ini disajikan bersama dua cucuk sate ayam, kepak ayam, poppadom dan dilengkapkan dengan telur goreng. Hidangan ini sesuai untuk mereka yang gemarkan makanan yang tidak pedas.

Selepas menjamu selera dengan makanan utama, apa kata maniskan tekak anda dengan Pisang Goreng istimewa. Pisang goreng ini disalut saduran ringan lalu digoreng sehingga sempurna. Hidangan ini disajikan sekali bersama madu untuk menambah lagi rasa manisnya.
Tentu ramai juga yang sukakan Keropok Lekor. Boleh saja menikmatinya bersama sos cili atau boleh dimakan begitu sahaja.
Nah, apa lagi lengkapkan cuti hujung minggu anda dan buatlah tempahan di Hornbill Restaurant & Cafe. Jika bernasib baik, anda akan ditemani burung enggang dan burung bangau ketika berada disana.

Alang-alang berada di restoran, jangan lupa luangkan masa melawat taman burung juga.
Hornbill Restaurant & Cafe
KL Bird Park
920 Jalan Cendrawasih
Perdana Botanical Gardens
50480 Kuala Lumpur
Waktu operasi
9am-6pm
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]