Indonesia tak puas hati keputusan mahkamah, mahu tegak keadilan buat Adelina

Indonesia tak puas hati keputusan mahkamah, mahu tegak keadilan buat Adelina

Konsul Jeneral Indonesia Pulau Pinang Bambang Suharto berkata pihaknya akan menunggu Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi respons terhadap keputusan itu dalam masa 10 hari.

Adelina Lisao ditemui mati di luar rumah majikannya di Pulau Pinang pada Februari 2018. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Konsul Jeneral Indonesia Pulau Pinang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ambika MA Shan yang didakwa membunuh pembantu rumahnya 2 tahun lalu.

“Kami menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia tetapi kami tidak berpuas hati dengan keputusan itu, ini bermaksud keadilan belum ditegakkan,” kata Bambang Suharto dalam kenyataan kepada FMT.

Bambang berkata, mereka akan menunggu Jabatan Peguam Negara (AGC) memberi respons terhadap keputusan itu dalam masa 10 hari.

“Kami percaya AGC mempunyai visi yang sama untuk menegakkan keadilan buat Adelina Lisao,” katanya merujuk kepada si mati.

“Kerajaan Indonesia akan terus berusaha menegakkan keadilan buat Adelina dan keluarganya.”

Adelina ditemui mati di luar rumah majikannya di Pulau Pinang pada Februari 2018.

Kes itu mencetuskan ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Ambika yang juga majikannya dituduh membunuh amah berusia 26 tahun itu, yang mengalami kegagalan organ akibat didera di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Pada 19 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan membunuh Adelina.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan membebaskan Ambika, selepas barisan 3 hakim dipengerusikan Yaacob Md Sam berkata tiada kesilapan dalam keputusan hakim Akhtar Tahir membebaskan beliau mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Kami berpuas hati bahawa hakim menjalankan kuasanya dengan betul,” katanya ketika menolak rayuan pihak pendakwaan. Beliau mempengerusikan rayuan itu bersama Abu Bakar Jais dan Nordin Hassan.

Sementara itu, Glorene Das dari Tenaganita berharap pihak pendakwaan akan mendakwa Ambika lagi, tetapi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 304A, individu yang menyebabkan kematian boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

“Adelina dianiaya dengan kejam dan parah sehingga mati. Dia ditemui dengan kecederaan parah di kepala dan muka, dan luka pada tangan dan kakinya.

“Tenaganita percaya satu-satunya cara yang efisien untuk menghapuskan penderaan dan eksploitasi serius terhadap mana-mana individu adalah pelaku didakwa dan dipenjara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Alex Ong, seorang aktivis Migrant CARE, berkata pembebasan Ambika adalah “kegagalan menegakkan keadilan”, kerana ia disebabkan oleh proses teknikal dan prosedur berkaitan dengan masalah dalam siasatan.

Adrian Pereira, dari Inisiatif Utara Selatan, berkata keputusan itu menunjukkan Malaysia masih mempunyai peraturan dan penguatkuasaan yang lemah terhadap hak pembantu rumah.

“Tragedi seperti kes ini akan terus berlaku. Malaysia jelas tidak mempunyai tunjang untuk menyelesaikannya kerana masalah ini wujud sejak 30 tahun lalu. Kami berharap kerajaan segera menggubal undang-undang yang dapat dikuatkuasakan untuk pembantu rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.