
Siapa yang tidak kenal dengan Taj Mahal. Kisah percintaan sejati yang diabadikan dalam sebuah makan putih. Taj Mahal dibina pada 1632 atas perintah Maharaja Mughal, Shah Jahan, untuk menempatkan makam isterinya, Mumtaz Mahal. Namun, mayat Shah Jahan juga ditempatkan di situ selepas kemangkatan beliau pada 1658.
Makam ini terletak di tengah-tengah 17ha taman berserta masjid dan rumah tetamu. Taj Mahal ini berada di Agra, Uttar Pradesh, India. Agra merupakan kawasan pelancongan yang terkenal di India.
Berkilau bak mutiara
Taj Mahal dibuka sepanjang tahun tetapi tidak digalakkan untuk dikunjungi pada musim tengkujuh.

Lawatan pada waktu malam dihadkan kepada 5 hari sebulan – pada malam bulan mengambang penuh dan 2 hari sebelumnya dan selepasnya – dari 8.30 malam sehingga 12.30 pagi. Lawatan malam tidak dibenarkan pada hari Jumaat dan bulan Ramadan.
Untuk lawatan pada waktu siang, Taj Mahal dibuka dari hari Sabtu hingga Khamis, 30 minit sebelum matahari terbit dan tutup 30 minit sebelum matahari terbenam. Untuk merasai pengalaman yang kurang sesak, cubalah datang melawat pada waktu matahari terbit.
Tempahan tiket
Bagi lawatan waktu siang, tiket masuk boleh ditempah secara atas talian. Bagi yang ingin merasai suasana Taj Mahal pada waktu malam pula, perlu berada di Agra sehari sebelum hari lawatan untuk menempah tiket – tiket tidak boleh ditempah secara dalam talian untuk lawatan malam.
Tiket hanya dikeluarkan sehari sebelum tarikh lawatan dan boleh didapati di pejabat ASI, 22 Mall Road, Agra dari 10 pagi hingga 6 petang. Hotel-hotel tertentu boleh membantu untuk tempahan tiket.
Lawatan pada waktu malam terhad kepada 50 orang setiap 30 minit sahaja. Pelawat perlu berada di Shilpgram 30 minit sebelum slot waktu lawatan masing-masing bersama-sama tiket.
Setelah tiket disahkan, perkhidmatan kereta percuma akan disediakan untuk membawa para pelawat ke pagar Taj Mahal untuk pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh sebelum setiap kumpulan pelawat dibenarkan masuk.
Apabila berada di kawasan pintu masuk, pelawat akan melihat cahaya bulan yang cantik. Malah Taj Mahal itu sendiri seolah-olah berkilau bak mutiara. Melihat Taj Mahal dengan cahaya rembulan adalah satu pengalaman yang sangat indah. Namun, pengalaman ini sukar dirakam dalam lensa kamera, hanya akan terpahat di kotak memori sebagai kenangan.
Tips
Pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan makam pada waktu malam dan hanya dibenarkan berada di kawasan dataran berhampiran pintu masuk.
Kamera dibenarkan tetapi tidak boleh diletakkan di atas penghadang. Tripod juga tidak dibenarkan.
Pelawat diminta menghormati orang lain dan tidak membuat bising.
Armit dan Anindita adalah blogger untuk Indian Travels yang menulis blog di Travel Like We Do. Mereka menulis tentang pelancongan di India dan negara-negara luar yang lain. Mereka masih mengembara dan merekod setiap detik perjalan mereka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]