Sekat pelajar keluar masuk bendung penularan wabak Covid-19, kata institut latihan

Sekat pelajar keluar masuk bendung penularan wabak Covid-19, kata institut latihan

Institut Latihan Perindustrian berkata, wujud kelonggaran bagi pelajar yang perlu melakukan urusan di luar kolej seperti urusan perbankan.

Institut Latihan Perindustrian adalah institut latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia untuk melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan sektor perindustrian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Institut Latihan Perindustrian (ILP) berkata, semua pelajarnya tidak dibenarkan keluar dari asrama selama 3 bulan bermula awal September sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

Jurucakap institusi latihan itu berkata, masih terdapat kelonggaran bagi pelajar yang perlu melakukan urusan di luar kolej seperti urusan perbankan.

“Ya betul, kita memang ada keluarkan pekeliling berkuat kuasa awal Sept lalu dengan pihak pengurusan ILP tidak benarkan semua pelajar keluar masuk sesuka hati.

“Tetapi bagi pelajar yang nak balik ke rumah bagi kes kecemasan, mereka mesti dapatkan surat rasmi untuk kelulusan pihak kolej,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjawab pertanyaan daripada orang awam berhubung isu itu yang diterima FMT hari ini.

Dalam kiriman emel, pengirim mendakwa langkah itu memberi tekanan kepada pelajar ILP kerana pelajar di institusi pengajian lain bebas keluar masuk, terutama pada hujung minggu.

“Malah, kakitangan pihak kolej juga bebas keluar masuk tanpa sekatan,” kata individu yang enggan dikenali itu.

Dalam pada itu, ILP berkata, tiada istilah ‘double standard’ yang diamalkan oleh institut itu kerana kakitangannya memang duduk di luar, sementara pelajar duduk di asrama yang terletak dalam kawasan kolej.

“Tetapi untuk kakitangan kalau nak keluar masuk, memang ada SOP yang perlu dipatuhi,” kata jurucakap itu lagi.

ILP adalah institut latihan untuk melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan sektor perindustrian di Malaysia. Ia terletak di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.