Benarkan haiwan peliharaan boleh dijangkiti virus korona?

Benarkan haiwan peliharaan boleh dijangkiti virus korona?

WHO mengatakan masih belum ada penerangan yang cukup dan jelas berkenaan risiko jangkitan virus korona dari haiwan kepada manusia.

Terdapat hanya sedikit bukti mengatakan haiwan peliharaan boleh menyebarkan virus ini.
ONTARIO:
Sebuah kajian berkenaan virus Covid-19 yang diterbitkan pada Jumaat lepas mendapati virus ini boleh merebak kepada kucing dan anjing melalui pemiliknya. Virus korona ini dikelaskan sebagai jangkitan “zoonotik”, iaitu jangkitan boleh menular daripada manusia kepada haiwan.

Walaupun bukti yang didapati tidak mencukupi untuk menyimpulkan haiwan peliharaan boleh menjadi ejen penularan virus Covid-19, namun bukanlah mustahil memandangkan terdapat kes di mana kucing, anjing, bahkan harimau pun dijangkiti.

Hasil daripada satu kajian awal (yang masih belum disemak oleh pengulas) baru-baru ini, sekumpulan pakar sains vaterina dari Kanada menguji kumpulan haiwan peliharaan milik pesakit positif Covid-19. Kumpulan haiwan peliharaan pertama diuji termasuklah 17 kucing, 18 anjing, dan seekor musang kepunyaan pesakit Covid-19 yang didiagnos dalam jangka masa 2 minggu. Semua haiwan itu didapati negatif kecuali 1 hasil yang masih belum diputuskan.

Selain itu, darah yang diambil daripada 8 kucing dan 10 anjing kepunyaan pesakit positif Covid-19 di luar jangka masa 2 minggu juga turut sama diuji. Keputusan antibodi darah tersebut dibandingkan dengan haiwan peliharaan yang sama sebelum pandemik berlaku.

Hasil kajian menunjukkan terdapat antibodi IgG dalam 4 ekor kucing (50%) manakala antibodi IgM pula didapati pada 3 ekor kucing (38%). Dua ekor anjing (20%) yang diuji juga didapati positif Covid-19.

Di samping itu, semua kucing dan salah satu anjing dengan antibodi yang berkenaan juga dilaporkan mempunyai gejala respiratori dan lain-lain penyakit di waktu yang sama dengan tuannya.

“Walaupun jumlah subjek kajian adalah terhad disebabkan oleh kadar penularan yang rendah dalam kawasan kajian namun, kajian awal tetap menunjukkan terdapat peratusan yang agak tinggi dalam kalangan haiwan peliharaan kepunyaan pesakit Covid-19 yang mempunyai antibodi yang sama,” jelas penulis kajian bersama, Dorothee Bienzle, Profesor Patologi Veterinar di University of Guelph, Ontario.

Pakar persendirian mengulas kajian yang bakal dibentangkan di Persidangan Persatuan Mikrobiologi Klinik dan Penyakit Berjangkit Eropah Berkenaan Coronavirus lewat bulan ini mengatakan saiz sampel terlalu kecil untuk membuat sebarang kesimpulan. Maka, pemilik haiwan peliharaan tidak perlu terlalu risau berkenaan kajian ini.

Sally Cutler, Profesor Mikrobiologi Perubatan di University of East London turut menjelaskan bukti yang ada tidak cukup untuk mengatakan pemilik haiwan peliharaan sewajarnya mengasingkan haiwan kesayangan mereka.
Malah Sally berkata, “Haiwan peliharaan boleh menjadi sumber ketenangan dan keselesaan buat manusia, lebih-lebih lagi sekiranya pemiliknya sedang sakit. Malah, tiada sebarang bukti menunjukkan haiwan peliharaan boleh menjadi sumber jangkitan buat manusia,” jelasnya.

Kucing dan anjing domestik dari Eropah ke Amerika Syarikat didapati positif Covid-19 semasa pandemik ini berlaku. Pada bulan April pula, seekor harimau disahkan positif Covid-19 di Zoo Bronx, New York. Terdapat kemungkinan, harimau tersebut dijangkiti dari penjaga zoo yang tidak menunjukkan sebarang simptom.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga mengeluarkan kenyataan bahawa masih belum ada penerangan yang cukup dan jelas berkenaan risiko jangkitan virus korona dari haiwan kepada manusia.

Namun begitu, kekhuatiran tentang penularan virus dari haiwan kepada manusia adalah hasil daripada wabak di ladang haiwan yang didiami oleh cerpelai.

Sekurang-kurangnya 2 pekerja ladang di Belanda disahkan positif Covid-19 pada Mei, dan barangkali dijangkiti oleh cerpelai. WHO juga ada menyatakan kes ini mungkin merupakan “kes pertama jangkitan haiwan kepada manusia”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.