
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Santhara Kumar berkata, bagi mengatasi masalah itu pihaknya sudah bersetuju supaya DBKL mengeluarkan surat arahan dan memberi tempoh 30 hari kepada pihak berkaitan supaya membuka utiliti berkenaan.
“Salah satu sebab yang kita dapati di mana saliran yang ada itu, ada pelbagai jenis paip utiliti yang disalurkan ke dalamnya tanpa kebenaran DBKL. Ia mengurangkan kapasiti saliran sehingga 30% ke 40%.
“DBKL akan keluarkan surat kepada semua agensi yang memiliki utiliti itu dan berikan mereka 30 hari untuk membukanya dan memasang dengan cara sepatutnya, tetapi bukan dalam longkang,” katanya sewaktu ditemui pemberita, hari ini.

Pada 10 September lepas, terdapat 5 lokasi di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat setelah hujan lebat pada petang Khamis.
Lokasi tersebut adalah Lebuh Ampang, Jalan Raja Alang di Kampung Bharu, Jalan Gurney Kiri, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5, Taman Ayer Panas dan Jalan San Ah Wing, di Kampung Semarak.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, pihaknya akan mengkaji punca sebenar kejadian banjir kilat yang melanda ibu negara yang disifatkannya berlaku “agak pantas”.
Annuar berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada DBKL serta Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) secepat mungkin.
Santhara berkata, beberapa langkah sudah dirancang bagi mengatasi masalah banjir di Lebuh Ampang, selain menjelaskan tindakan mengarahkan DBKL itu merupakan langkah jangka pendek.
“Ini merupakan tindakan serta merta. Kedua, langkah jangka sederhana, DBKL akan korek semula dan perbesarkan longkang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, pada hari kejadian banjir, pihaknya tidak menafikan air sungai melimpahi tebing, namun selepas hujan berhenti, dalam tempoh singkat limpahan air juga berkurang dengan mendadak.
“Kita dapati oleh kerana sungai melimpah keluar banyak tempat banjir. Ia memang luar biasa, tetapi dalam masa 30 minit selepas hujan berhenti, air sudah surut.
“Itu membuktikan sistem saliran berfungsi, tetapi jika kapasitinya lebih besar, maka ia lebih bagus dan tidak akan mencecah paras pada hari itu,” katanya.