
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu membuat cadangan tersebut sekali gus membidas Presiden Warisan Shafie Apdal dan ketua menteri sementara berhubung cadangannya untuk membenarkan pesakit Covid-19 mengundi dalam pilihan raya negeri minggu ini.
”Pada pengamatan saya, KKM dan SPR sebaliknya harus membenarkan undi pos bagi pesakit Covid- 19 yang sedang dikuarantin.
“Dengan cara sebegini, mereka tidak perlu keluar dari hospital atau tempat kuarantin. Ia juga tidak akan menggangu rawatan mereka, paling penting mereka tidak akan didedahkan dengan risiko menjangkiti orang lain dan masih boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anifah turut melahirkan rasa terkejut susulan kenyataan Shafie yang mahukan pesakit Covid-19 keluar mengundi dengan menyifatkan pemimpin itu terdesak untuk mendapat sokongan.
”SOP yang ditetapkan untuk Covid-19 bertujuan mengasingkan pesakit daripada orang ramai kerana daya jangkitan penyakit yang begitu tinggi.
“Sanggup dia (Shafie) menggadai kesihatan ramai demi meraih undi? Adakah beliau ‘buta hati’ dan begitu terdesak?,” katanya sekali gus meminta KKM dan SPR supaya tidak tunduk kepada cadangan Shafie yang “membahayakan rakyat” itu.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengurangkan risiko pandemik yang amat berbahaya itu.
“Saya harap tiada antara kita yang memandang remeh atau mengabaikan perkara ini semata-mata untuk agenda sendiri,” katanya.
Shafie sebelum ini mencadangkan supaya pesakit Covid-19 dibenarkan mengundi dalam pilihan raya kerana “rakyat berhak mengundi walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan”.
Katanya, kerajaan negeri perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan rakyat Sabah yang positif Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu keluar mengundi.
Shafie dilaporkan membuat cadangan itu ketika ditanya berhubung peningkatan kes Covid-19 di Sabah, terutama di Lahad Datu dan Tawau, dan sama ada ia akan memberi kesan ke atas angka keluar mengundi kelak.
Beliau dipetik oleh akhbar Daily Express sebagai berkata: “kita boleh menyediakan SOP bagi mereka yang didapati positif (Covid-19). Satu barisan boleh dibuat untuk mereka. Kita tidak boleh halang mereka menunaikan hak (mengundi).”
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah