
Kementerian itu berkata, Putrajaya kini membincangkan terma penyertaan Gabungan Vaksin dan Imunisasi Dunia (Gavi) yang mengurus Inisiatif Covax.
Ia berkata, Putrajaya juga sedang menyiapkan perjanjian untuk menyertai Persekutuan Epidemik dan Kesiapsiagaan Inovasi (Cepi) serta perjanjian kerajaan-dengan-kerajaan dengan Beijing bagi akses kepada vaksin yang dijangka dibangunkan oleh firma farmaseutikal di China.
Ia berkata, Kementeriaj Kesihatan telah menandatangani perjanjian kerahsiaan dengan beberapa firma farmaseutikal dunia yang kini berada di fasa ke-3 ujian vaksin mereka.
“Pendekatan Malaysia dengan menyertai Covax, membentuk perkongsian strategic dengan negara lain dan berunding secara langsung dengan firma farmaseutikal akan memastikan negara memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia berkata, ini akan memastikan vaksin akan diperoleh dengan cepat dan pada harga berpatutan sebaik sahaja ia dibuktikan selamat dan berkesan.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan menyelaras perjanjian berkaitan bagi pihak kerajaan.”
Semalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan supaya bersikap telus berhubung rancangannya bagi mendapatkan vaksin Covid-19 berikutan laporan yang mendakwa Malaysia tidak tersenarai dalam kalangan 172 negara yang menandatangani Covax.
Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata, rakyat berhak tahu kenapa Malaysia tidak menandatangani inisiatif Covax kerana tarikh tamat penyertaannya berakhir semalam.