Bukit Bendera dijangka dapat pengiktirafan Unesco dalam 2 tahun

Bukit Bendera dijangka dapat pengiktirafan Unesco dalam 2 tahun

Pengurus besar Perbadanan Bukit Bendera Cheok Lay Leng berkata, Kabinet baru-baru ini meluluskan kertas kerja pengiktirafan Bukit Bendera sebagai Rizab Biofesra Unesco.

Rizab Biosfera Bukit Bendera akan merangkumi Bukit Bendera sebagai taman utama, Taman Negara Teluk Bahang dan Taman Laut serta kawasan sekitarnya seluas lebih 12 ribu hektar. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Perbadanan Bukit Bendera (PHC) menjangkakan Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya akan mendapat pengiktirafan Unescosebagai Rizab Biosfera dalam tempoh 2 tahun lagi.

Pengurus besarnya Cheok Lay Leng berkata, Kabinet baru-baru ini meluluskan kertas kerja untuk permohonannya yang dibentangkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Kami dimaklumkan awal September bahawa Kabinet meluluskan kertas kerja yang akan dihantar kepada Unesco, yang mungkin akan mengambil masa dua tahun untuk dinilai,” katanya kepada media selepas perasmian “Banglow Hillside Retreat” oleh Ketua Metneri Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Cheok berkata, Rizab Biosfera Bukit Bendera akan merangkumi Bukit Bendera sebagai taman utama, Taman Negara Teluk Bahang dan Taman Laut, dengan kawasan seluas lebih 12 ribu hektar dengan pihaknya menentukan zon teras, zon penampan, zon peralihan serta zon yang perlu dipelihara dengan jelas.

Cheok Lay Leng

Bukit Bendera yang terdiri daripada hutan simpan semula jadi yang belum terusik itu, didapati mempunyai 85 spesies bunga orkid, lebih 100 spesies burung, 3 spesies monyet ikonik, selain beberapa tumbuhan, semut dan pelbagai spesis labah-labah.

Sementara itu Chow berkata, pengiktirafan itu akan memberi manfaat kepaa semua penduduk Pulau Pinang dan menjadi satu lagi tarikan pelancong ke Bukit Bendera.

Beliau berkata, seperti Tapak Warisan Dunia Unesco George Town, ia meningkatkan sektor pelancongan dan menarik lebih ramai kedatangan pelancong luar sebelum terjadinya pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.