
AlJazeera melaporkan, presiden itu mengulangi dakwaan bahawa demonstrasi itu dirancang oleh Barat. Beliau berdepan kritikan yang semakin bertambah daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).
“Saya tidak mahu meletakkan negara dalam peperangan. Saya juga tidak mahu Belarus, Poland dan Lithuania menjadi pentas operasi ketenteraan yang tidak akan menyelesaikan masalah kita,” kata beliau.
“Jadi kepada rakyat negara yang paling cantik, maju dan patriotik saya ingin merayu rakyat Lithuania, Poland dan Ukraine – hentikan ahli politik kamu yang gila itu. Jangan biarkan perang tercetus!”
Bagaimanapun, beliau tidak merujuk negara jiran Latvia, yang sama seperti Poland dan Lithuania, merupakan anggota Nato, kata laporan itu lagi.
Demonstrasi di Belarus tercetus selepas pilihan raya presiden pada Ogos 9. Keputusan rasmi pilihan raya itu memberi mandat kepada Alexander sebagai presiden untuk penggal ke-6, tetapi pihak pembangkang mendakwa keputusan itu dimanupulasi.