Tayangan filem sekuel adiwira ‘Wonder Woman’ ditangguh lagi hingga Krismas

Tayangan filem sekuel adiwira ‘Wonder Woman’ ditangguh lagi hingga Krismas

Ia dijadual dilancarkan pada 2 Oktober, namun kini dilanjutkan lagi hingga 25 Disember.

Filem sekuel adiwira ‘Wonder Woman’ dijangka menemui peminat di pawagam pada 25 Disember tahun ini. (Gambar Instagram)

Bagi peminat filem studio The Warner Bros yang menantikan sekuel adiwira wanita, “Wonder Woman 1984”, mungkin perlu bersabar sedikit lagi.

Ini kerana pelancaran tayangan perdana filem yang dibintangi Gal Gadot itu dilaporkan perlu ditangguh hingga Hari Natal tahun ini.

Terdahulu, ia dijadual untuk dilancarkan pada 2 Oktober, namun kini dilanjutkan lagi hingga 25 Disember.

Menurut Reuters, keputusan itu dibuat pihak produksi selepas menyaksikan masih banyak pawagam ditutup disebabkan pandemik Covid-19.

“Ini kerana saya tahu betapa pentingnya membawakan filem ini ke layar perak untuk kita menikmati pengalaman menonton bersama. Saya berharap anda tidak kisah jika terpaksa menunggu lebih lama,” kata pengarahnya, Patty Jenkins dalam kenyataan.

Filem itu dikategorikan sebagai filem Hollywood berbajet besar.

Selain “Wonder Woman 1984”, filem blockbuster Hollywood lain yang dinantikan peminat adalah “Black Widow” dan “James Bond, No Time To Die”.

Sejak ditutup Mac lalu, banyak tayangan filem dijadualkan semula sementara industri hiburan cuba untuk pulih daripada impak Covid-19 dengan melaksanakan had kapasiti tertentu dan prosedur operasi standard kesihatan.

Negara pasaran filem terbesar dunia seperti China kembali beroperasi. Namun, di Amerika Syarikat masih mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghidupkan semula panggung wayang termasuk di bandaraya Los Angeles dan New York.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.