
Ketua Polis Sungai Way, Zulfadhly Yacob, yang mengambil alih penyiasatan kes tersebut pada 2018 berkata, beliau cuba menghubungi kesemua 6 adik-beradik Joshua.
Saksi ke-14 itu berkata, tiada seorang pun daripada mereka pernah bertanya sama ada abang mereka hilang atau membuat laporan polis mengenai kehilangannya.
Beliau berkata, mereka memberitahunya bahawa mereka putus hubungan dengan abang mereka dan tidak sedar tentang keberadaannya.
Katanya, adik-beradik itu juga mencari alasan untuk tidak bertemu dengan polis untuk soalan lanjut berhubung kes kehilangan beliau.

Beliau berkata, salah satu daripada adik-beradik tersebut, Firdaus Hanim, pernah memberitahu seorang pegawai polis bahawa beliau tiada masalah dengan Joshua memeluk agama Kristian.
“Firdaus tidak menghalang dia (Joshua) daripada menganut agama lain.
“Adik yang lain, Naim Hanim berkata, Hilmi berkahwin dengan seorang Kristian yang berasal dari Indonesia,” inkuiri diberitahu hari ini.
Zulfadhly menjawab soalan pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma sama ada disebut dalam kertas siasatan bahawa Joshua menukar agamanya.
Katanya, Firdaus dalam kenyataannya berkata, kali terakhir dia bertemu dengan paderi itu ialah di Taman Teluk Molek di Butterworth pada 2012, iaitu 4 tahun sebelum kehilangannya.
“Dia tidak menyebut tujuan pertemuan tersebut.”
Zulfadhly berkata, Naim juga memberi kenyataannya kepada seorang pegawai penyiasat lain pada Oktober 2018 di rumahnya di Butterworth.
“Dia berkata, kali terakhir dia bertemu dengan paderi itu pada 2012. Dia berkata paderi itu memandu sebuah Kancil, tetapi tidak mengetahui nombor pendaftaran kereta itu. Tiada lagi maklumat lain diberikan.”
Apabila ditanya sama ada beliau pernah menimbangkan kemungkinan paderi itu menghilangkan diri disebabkan perkahwinannya dengan penganut agama lain, Zulfadhy berkata, beliau hanya menyiasat kes itu sebagai kes “kehilangan orang”.
Peguam Philip Koh, yang mewakili keluarga Ruth Sitepu, bertanya Zulfadhly sama ada beliau menyedari terdapat undang-undang yang menghalang perkahwinan begitu di Malaysia..
Beliau berkata: “Saya tidak pasti.”
Zulfadhly juga berkata, beliau telah menjalankan semakan ke atas akaun Maybank milik Joshua dan mendapati urus niaga terakhir dibuat pada 2017.
Ruth dan Joshua, seorang Melayu-Islam yang memeluk agama Kristian, hilang sejak 3 tahun lepas. Kali terakhir mereka dilihat ialah pada Nov 30, 2016.