
Rakaman yang tersebar di media sosial itu pada Isnin menunjukkan sekumpulan individu kelihatan seperti tentera kerajaan menjerit dan berarak di belakang seorang wanita yang dibogelkan mereka.
Kumpulan lelaki itu memukul mangsa beberapa kali dengan kayu sebelum menembak kepalanya menggunakan senapang Kalashnikov di tepi jalan.
“Kamu daripada al-Shabab,” pembunuh itu didengar menjerit dalam bahasa Portugis – merujuk kumpulan militan yang melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan sejak 2017.
Menteri pertahanan Mozambique kemudiannya mengecam klip video kejam itu dan menggesa siasatan dijalankan untuk “mengenal pasti kesahihannya”.
“Pasukan pertahanan dan keselamatan mengulangi mereka tidak bersetuju dengan sebarang tindakan tidak bertamadun yang ternyata mencabul hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
“Kejadian sebegini harus sentiasa dikecam setiap orang dalam masyarakat.”
Beberapa klip video lain menunjukkan tentera menyeksa tahanan yang dipercayai ada kaitan dengan al-Shabab yang dibocorkan kepada Amnesty International pada Mei lalu.
Kumpulan pemantau itu mendakwa pasukan keselamatan Mozambique menyeksa militan disyaki di wilayah utara Cabo Delgado, lokasi pemberontakan berlaku.
Kerajaan menepis dakwaan itu minggu lalu dengan berkata, keganasan itu dilakukan militan yang menyamar sebagai tentera.
Rakaman video pada Isnin itu dimuat baik beberapa aktivis hak asasi manusia yang mencetuskan kemarahan.
“Ini agak menakutkan,” tulis Pengarah Amnesty International di Afrika Selatan dan timur, Deprose Muchena menerusi Twitter.
“Bilakah ini akan berakhir?”
Pasukan tentera bergelut merampas semula Cabo Delgado, yang menempatkan salah satu projek gas asli cecair terbesar di Afrika.
Militan melancarkan satu siri serangan ke atas kampung dan bandar di kawasan itu sejak 3 tahun lalu yang meragut lebih 1,500 nyawa dan sekurang-kurangnya 250,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Kumpulan itu bertambah berani dalam beberapa bulan ini dengan melancarkan keganasan sebagai sebahagian daripada usaha mendirikan kerajaan khalifah.
Sebuah pelabuhan strategik di bandar Mocimboa da Praia ditawan militan sejak 12 Ogos lalu.