Elak salam dengan pengundi, kata Muhyiddin

Elak salam dengan pengundi, kata Muhyiddin

Dalam menghadapi PRN terdapat peningkatan ketara terhadap kes baharu Covid-19 di Sabah khususnya di Tawau dan Lahad Datu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan kesan akan berlaku jika kes Covid-19 meningkat dengan mendadak termasuk melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menasihatkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah supaya mengelak daripada bersalaman dengan pengundi, sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Katanya, dalam menghadapi PRN terdapat peningkatan ketara terhadap kes baharu Covid-19 di Sabah khususnya di Tawau dan Lahad Datu.

“Kepada petugas pilihan raya, pastikan semua aktiviti kempen dijalankan mengikut SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara. Dalam keadaan biasa, semasa musim pilihan raya ini ramai akan berkumpul dan bersalaman.

“Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat sesak dan sempit. Elakkan juga bersalaman dengan pengundi. Saya fikir pengundi faham kalau mereka turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman,” katanya dalam perutusan khas perdana menteri berhubung situasi semasa Covid-19 malam ini.

Muhyiddin turut mengingatkan kesan akan berlaku jika kes Covid-19 meningkat dengan mendadak, sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) atau perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di kawasan mencatat kes baharu Covid-19 yang tinggi.

“Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara. Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah, pada masa ini.

“Saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak Covid-19. Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma baharu kehidupan,” katanya.

Katanya, rakyat di seluruh juga dinasihatkan supaya tidak berasa janggal atau kekok memakai pelitup muka, memandangkan pemakaiannya sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

“Kini, kita semua mesti memainkan peranan sebagai ‘petugas barisan hadapan’ dengan terus mengamalkan norma baharu dalam kehidupan. Saudara dan saudari juga mestilah segera mendapatkan rawatan jika mempunyai gejala seperti demam, batuk atau sukar untuk bernafas,” katanya.

Menurutnya, Malaysia masih berada dalam peperangan menentang Covid-19 dan dalam situasi ini, disiplin serta pematuhan masyarakat terhadap peraturan dan SOP ditetapkan amat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Matlamat kerajaan bukan hanya untuk melandaikan lengkuk penularan tetapi juga memastikan wabak jangkitan ini dapat dikawal untuk suatu tempoh yang panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.