Anak syarikat tidak akan jual aset, tegas MB Perak

Anak syarikat tidak akan jual aset, tegas MB Perak

Kerajaan negeri sudah membuat beberapa perubahan dalam pengurusan Perak Corporation Bhd.

Menteri Besar Perak, Faizal Azumu bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di mesyuarat NCIA hari ini. Faizal menegaskan kerajaan negeri tidak akan menjual aset untuk selesaikan masalah kewangan PCB. (Gambar Bernama)
LUMUT:
Perak Corporation Bhd (PCB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang kini dalam status PN17 tidak akan menjual aset dalam menyelesaikan masalah kewangannya, tegas Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu hari ini.

Faizal juga memaklumkan kerajaan negeri sudah pun membuat beberapa perubahan dalam pengurusan PCB.

“Kita membawa nama besar dalam dunia korporat untuk mengepalai lembaga pengarah PCB. Sekarang ini kita ada perancangan bagaimana nak menyelesaikan masalah dalam PCB dan bagaimana nak mengeluarkan PCB daripada PN17,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor hari ini.

Pagi tadi, pemimpin sebuah parti politik bercakap tentang kewangan PCB berdasarkan dokumen yang dikatakan laporan kewangan syarikat yang berakhir 31 Dis 2019.

Naib Presiden Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Hamidah Osman, mendakwa liabiliti syarikat mengatasi jumlah aset, dan jumlah tunai dan baki bank milik PCB pula RM25,000.

Faizal menegaskan kerajaan negeri tidak pernah berhasrat menjual mana-mana aset yang “berpotensi tinggi”.

Katanya, ketika bertemu ahli lembaga pengarah PCB baharu, mereka beritahu akan membantu memulihkan PCB tanpa perlu menjual aset.

“Kita tidak akan jual Lumut Port malah kita kalau boleh nak menguasai Lumut Port 100%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.