Suhakam gesa penubuhan segera RCI, teliti dakwaan salah laku hakim

Suhakam gesa penubuhan segera RCI, teliti dakwaan salah laku hakim

Suhakam berkata, tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai penubuhan RCI atau penyiasatan sejak pengumuman Putrajaya pada 2019.

Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer membalas notis tunjuk sebab atas tuduhan 2019 terhadap badan kehakiman. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru kepada penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer pada 2019.

Suhakam berkata, Putrajaya mengumumkan pada Februari 2019 bahawa RCI akan ditubuhkan, tetapi sehingga kini tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai penubuhannya atau penyiasatan ke atas dakwaan yang dibuat dalam afidavit tersebut.

“Badan kehakiman adalah teras kepada negara demokratik dan kebebasan serta integriti badan tersebut amat penting bagi memastikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap pengadilan yang adil dan tidak berat sebelah untuk semua di negara ini.

“Dakwaan yang dibuat dalam afidavit tersebut, jika terbukti benar, adalah pelanggaran yang serius terhadap hak asasi manusia dan kebebasan yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan, khususnya kesamarataan di sisi undang-undang dan perlindungan yang sama untuk semua.

“Suhakam berharap agar RCI dapat ditubuhkan segera tanpa dilengahkan lagi bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengadilan negara dan bagi melindungi kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan itu susulan laporan bahawa Hamid menghantar respons terhadap notis tunjuk sebab untuk mengesahkan afidavit bahawa hakim kanan campur tangan dalam keputusan banyak rayuan, termasuk kes hasutan Karpal Singh.

Sumber memberitahu FMT bahawa hakim kanan, yang dijadualkan untuk bersara tahun depan, bersetuju dengan keseluruhan kandungan afidavit itu dan juga 101 halaman penghakiman yang disampaikan beliau pada awal Jun.

Ini adalah kali pertama notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada hakim sejak kod etika disusun semula pada 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.