
Hasbi berkata, kajian dilakukan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mendapati kebanyakan pihak berkuasa penerbangan awam di negara lain tidak mengawal harga tiket penerbangan mereka sama ada bagi laluan antarabangsa atau domestik.
“Bagi negara yang melaksanakan penetapan harga tiket seperti di Indonesia, pengawalan harga menimbulkan implikasi negatif iaitu peningkatan purata harga tiket penerbangan.
“Dalam situasi ini, syarikat penerbangan didapati mengambil kesempatan daripada harga siling penerbangan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi tujuan memaksimumkan keuntungan mereka walaupun semasa di luar waktu puncak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan senator Nuing Jeluing yang ingin tahu sekiranya kerajaan berhasrat menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan bagi laluan tersebut demi perpaduan negara.
Hasbi berkata, kerajaan turut mengarahkan Mavcom menjalankan pemantauan berkaitan kadar tambang yang dikenakan terhadap syarikat penerbangan secara berterusan dan mengadakan sesi libat urus dengan syarikat penerbangan bagi memastikan harga tambang dikenakan sentiasa berada pada paras kompetitif.
Harga tiket penerbangan dijangka kembali normal sama seperti 2019 menjelang November ini.