
Dalam akaun Twitternya, Hua Chunying menulis: “Betulkah? Periksa fakta: 12 orang yang ditahan menyeberangi sempadan secara tak sah melalui laut. Mereka bukan aktivis demokrasi, tetapi percubaan untuk memisah #HongKong daripada China.”
Komen itu dibuat selepas ahli keluarga 12 tahanan itu mengadakan sidang media di Hong Kong untuk meminta pembebasan mereka yang ditahan oleh pengawal pantai wilayah Guangdong pada 23 Ogos di atas kapal yang bertolak ke Taiwan.
Ahli keluarga 12 terbabit menyembunyi identiti mereka dengan memakai topeng muka dan topi semasa sidang media. Mereka meminta individu terbabit dibenarkan untuk berunding dengan peguam yang dilantik oleh mereka, bukannya oleh kerajaan China.
Mereka juga meminta tahanan berkenaan dibenarkan menghubungi keluarga mereka yang berada di Hong Kong.
Jurucakap Jabatan Negara AS Morgan Ortagus berkata dalam Twitter bahawa penahanan itu adalah “satu lagi contoh pencabulan hak asasi manusia di Hong Kong” dan menyeru pihak berkuasa China “menjamin proses perbicaraan yang adil”.
Penahanan itu dibuat selepas kerajaan China mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas Wilayah Pentadbiran Khas itu susulan protes pro-demokrasi.