Agensi pelancongan harap kerajaan buka sempadan negara untuk umrah, haji

Agensi pelancongan harap kerajaan buka sempadan negara untuk umrah, haji

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia menyambut baik keputusan Arab Saudi menarik balik larangan perjalanan mulai tahun depan.

Mulai 1 Januari tahun depan, semua larangan keluar dan masuk untuk rakyat Arab Saudi akan ditarik balik, dengan membabitkan semua pengangkutan darat, laut dan udara. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) berharap kerajaan akan melonggarkan syarat serta membuka semula sempadan negara bagi membolehkan mereka menjalankan semula perniagaan umrah dengan segera.

Presidennya, Razali Mohd Sham berkata demikian berikutan keputusan Arab Saudi untuk menarik balik larangan perjalanan negara itu mulai tahun depan.

“Rata-rata ahli (Papuh) gembira dengan kenyataan itu kerana amat terkesan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Ada di antara kami terpaksa menutup sementara operasi bagi mengurangkan kos perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arab Saudi akan menarik balik larangan perjalanan mulai tahun depan, lapor agensi Anadolu, memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Ahad.

Kementerian Dalam Negeri negara itu mengumumkan mulai 1 Januari 2021, semua larangan keluar dan masuk untuk rakyat negara itu akan ditarik balik, ia membabitkan semua pengangkutan darat, laut dan udara.

Dalam pada itu, Razali menggesa ahli Papuh supaya membuat persediaan dari segi pakej dan menyusun tarikh berlepas.

Beliau juga menasihatkan bakal jemaah yang terkesan sepanjang tempoh PKP supaya menghubungi agensi pelancongan masing-masing bagi menjadualkan semula tarikh berlepas mereka.

“Seperti yang kita maklum harga pakej umrah bagi musim baru ini akan meningkat dengan ketara disebabkan beberapa faktor seperti kenaikan VAT Arab Saudi, hotel serta kos saringan kesihatan Covid-19.

“Pihak Papuh juga sedang merangka SOP bagi setiap bakal jemaah dan akan dihantar ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diteliti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.