
Sehingga kini, Jabatan Pengawalan Penyakit menyaring hampir 145 orang, termasuk pemain bola sepak dan kakitangan daripada 3 kelab yang mungkin mempunyai kontak dengan pemain tengah itu.
Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam kenyataan hari ini berkata, 47 individu dikenal pasti sebagai kontak rapat, termasuk pemain dan kakitangan Kelab Bola Sepak Buriram United yang sudah menjalani ujian saringan.
“Empat puluh lima daripada mereka diuji negatif, manakala 2 lagi menunggu ujian semula.”
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Kementerian Kesihatan Awam, Dr Opas Karnkawinpong mengesahkan pemain dari Uzbekistan itu positif Covid-19.
Seramai 1,115 individu, termasuk pengadil, pemain dan orang ramai yang terlibat dalam Liga 1 dan 2 Thai, disaring pada 8 Sept lalu dan pemain itu satu-satunya orang yang mendapat keputusan positif selepas keputusannya diperolehi Khamis lalu.
Sebelum ujian prapertandingan itu, pemain bola sepak itu dan rakan sepasukannya mengadakan 2 perlawanan persahabatan dengan Kelab Khon Kaen United (5 Sept) dan Kelab Bola Sepak Ratchaburi (30 Ogos).
CCSA berkata, semua pemain dan petugas bola sepak serta pelatih dan pemandu 2 kelab itu sedang menunggu keputusan saringan Covid-19.
Sementara itu, pegawai kesihatan awam Buriram mengesan 367 individu, termasuk 27 orang yang dikenal pasti dalam kumpulan berisiko tinggi mempunyai kontak dengan pemain itu.
Pemain Uzbekistan itu tiba di Thailand pada 13 Ogos lalu dan selesai menjalani kuarantin 14 hari pada 27 Ogos.
Sementara itu, Ketua Pusat Kecemerlangan Klinikal Virologi Universiti Chulalongkorn, Dr Yong Puworawan berkata, tempoh inkubasi pemain bola sepak itu mungkin melebihi 14 hari dan tidak mungkin daripada jangkitan tempatan.
Thailand setakat ini mencatatkan 3,473 kes Covid-19 dengan 58 kematian.