Shafie dakwa Putrajaya taja parti kecil untuk pecah undi melalui GRS

Shafie dakwa Putrajaya taja parti kecil untuk pecah undi melalui GRS

Presiden Warisan itu berkata, terlalu banyak gabungan yang ditubuhkan kerajaan persekutuan, daripada Muafakat Nasional, PN dan kini GRS.

Shafie Apdal berkata, orang Sabah tidak mudah diperbodohkan dengan penubuhan Gabungan Rakyat Sabah.
SEMPORNA:
Presiden Warisan, Shafie Apdal mendakwa kerajaan persekutuan menubuhkan blok politik baru, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menaja parti kecil bagi memecahkan undi pada Pilihan Raya Negeri akhir bulan ini.

“Bagaimanapun, orang Sabah bukan mudah dipersenda atau diperbodohkan dengan penubuhan GRS kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Tujuan mereka untuk menaja beberapa parti politik yang ada walaupun kecil. Tujuannya ialah memecahbelahkan dengan niat mereka untuk menumbangkan kerajaan yang ada,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, terlalu banyak gabungan yang ditubuhkan kerajaan persekutuan, daripada Muafakat Nasional, PN dan kini GRS.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan GRS yang terdiri daripada BN, PN dan PBS.

Sementara itu, Shafie berkata, kerajaan Sabah bercadang membina lebih banyak kemudahan, khasnya di Semporna yang juga pusat pelancongan, tetapi keselamatan pelancong perlu menjadi keutamaan.

“Alhamdulillah, ada rezeki, peningkatan pelancong tempatan ke daerah ini dan saya difahamkan beberapa resort sudah kembali (beroperasi), bukan seperti asal, tapi ini kita boleh pulihkan, namun yang penting kepada kita ialah keselamatan.”

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.