
Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 berkata, pengundi juga perlu menanggung kos tambahan untuk penginapan dan makanan ketika dikuarantin, selain tambang tiket penerbangan mereka.
“Kami menggesa menteri kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara memberi pertimbangan teliti sebelum melaksanakan kuarantin 14 hari ke atas semua individu yang pulang dari Sabah, memandangkan penularan di Lahad Datu dan Tawau hanya terhad di penjara di sana.
“Jika perlu, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu memperketatkan lagi SOP pelaksanaan pilihan raya di Lahad Datu dan Tawau bagi memastikan penularan di sana dapat dibendung dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain pengundi, kata Bersih 2.0, ahli politik, pekerja parti, pegawai SPR, pekerja dan pemerhati NGO juga akan terjejas dengan cadangan kuarantin wajib itu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba hari ini dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan sedang meneliti keperluan melaksanakan kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah ke Semenanjung selepas urusan PRN.
Hari ini, satu lagi kluster baru dikesan di Sabah, iaitu kluster Laut di Kunak yang mencatatkan 4 kes positif.
Kluster Benteng Lahad Datu pula merekodkan 381 kes positif setakat ini, termasuk 44 kes baru yang dilaporkan hari ini.
Bersih 2.0 berkata, SPR perlu menyediakan undi pos kepada pengundi yang tidak dapat pulang ke kampung mengundi kerana bekerja atau belajar.
Ia turut menggesa SPR memberikan perancangan untuk pelaksanaan undi pos bagi semua pengundi di luar Sabah.
“Ini perlu dilakukan sebelum pilihan raya umum dan negeri akan datang, dan khasnya sebelum PRN Sarawak.”