NUTP gesa Putrajaya utama pelajar TVET

NUTP gesa Putrajaya utama pelajar TVET

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan berkata kemahiran dalam bidang itu boleh mendatangkan sumber pendapatan yang tinggi kepada negara.

Tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi mengarus perdana program TVET dalam negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa Putrajaya memberi keutamaan kepada pelajar bidang pendidikan dan latihan teknikal (TVET) khususnya teknikal dan kejuruteraan.

Setiausaha agungnya Harry Tan berkata, kemahiran dalam bidang itu boleh mendatangkan sumber pendapatan yang tinggi kepada negara.

“Ini adalah sumber peningkatan ekonomi negara yang mana ia juga merupakan harapan kerajaan dari dahulu lagi untuk mengurangkan masalah pergantungan kepada pekerja asing.

“Negara akan ketinggalan dari segi teknologi sekiranya tidak dibuat penambahbaikan segera terhadap TVET di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyarankan supaya pendidikan teknologi seperti automatif, pemesinan, pedingin hawa atau apa-apa yang membolehkan rakyat ke arah berpendapatan tinggi perlu diberi fokus utama.

Harry menggesa Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Jidin untuk melihat semula dasar TVET negara selain merangka strategi hala tuju bidang itu dengan lebih jelas dan konsisten.

Katanya, Malaysia memerlukan perancangan rapi supaya hasil kelulusan pelajar TVET seperti PIMA, PVMA, dan kolej vokasional dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber tenaga kerja asing.

“Negara memerlukan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan berdaya saing serta berkualiti tinggi dalam mencapai impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.

Tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi mengarus perdana program TVET dalam negara.

Untuk rekod, peruntukan bagi program TVET dalam Belanjawan 2019 adalah sebanyak RM5.7 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.