Senator Sabah minta kerajaan serius urus isu internet

Senator Sabah minta kerajaan serius urus isu internet

Masih banyak kawasan kampung di Sabah berhadapan masalah capaian internet dan ia memberi impak pada akses pembelajaran dalam talian semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Senator Adrian Lasimbang meminta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin menjelaskan rancangan bersepadu merangkumi wilayah dan garis masa konkrit untuk pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela).
KUALA LUMPUR:
Senator Dewan Negara dari Sabah hari ini meminta pihak berkenaan mengambil serius usaha menguruskan isu capaian internet di negeri itu yang didakwa masih dihadapi banyak kawasan kampung.

Adrian Lasimbang berkata, masih banyak kawasan kampung di Sabah berhadapan masalah capaian internet dan ia memberi impak pada akses pembelajaran dalam talian semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Contohnya Kampung Tilis, Tenom, apabila pelajar terpaksa memanjat bukit hampir 30 hingga 40 minit untuk mendapat capaian internet,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini, yang turut dihadiri senator Alan Ling dan Nga Hock Cheh.

Sehubungan itu, beliau meminta Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin menjelaskan rancangan bersepadu merangkumi wilayah dan garis masa konkrit untuk pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di bawah kerajaan sebelum ini menyasarkan 20% capaian internet di setiap premis kawasan separa bandar dan pedalaman dengan kelajuan 500 Mbps pada 2022, katanya.

Pada sidang media itu, mereka turut menuntut Zahidi dan Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri membuat permohonan maaf secara rasmi dalam sidang Dewan Negara berikutan kenyataan berhubung isu pelajar Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan akses internet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.