Kuarantin rumah selepas pulang dari Singapura dilarang, kata menteri

Kuarantin rumah selepas pulang dari Singapura dilarang, kata menteri

Ia susulan kes import melibatkan seorang rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 pada 2 Sept lalu.

Malaysia dan Singapura membenarkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara di bawah skim Peraturan Ulang Alik Berkala dan Laluan Hijau Timbal Balik mulai 17 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak lagi membenarkan individu dari Singapura di bawah skim perjalanan 2 hala untuk menjalani kuarantin di rumah, susulan kes import rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19.

The Star memetik Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba membuat pengumuman itu dalam sebuah acara di Johor semalam.

Di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) antara Malaysia dan Singapura sebelum ini, perjalanan rentas sempadan membabitkan kerja dan perniagaan dibenarkan dengan individu terbabit dikehendaki menjalani kuarantin di rumah.

Adham berkata, warganegara Malaysia berusia 35 tahun yang positif Covid-19 itu sudah diasingkan dan diberikan rawatan.

Pesakit itu pulang dari Singapura pada 29 Ogos lalu dan disahkan positif Covid-19 pada 2 Sept.

“Oleh itu, mereka yang pulang di bawah PCA tidak lagi dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, sebaliknya perlu ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya dipetik akhbar harian itu.

Mereka juga perlu menanggung kos di pusat kuarantin terbabit.

Adham berkata, sejak Malaysia dan Singapura memulakan skim PCA dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) 17 Ogos lalu, lebih 3,000 orang memasuki negara ini.

“Setakat ini, tiada kes Covid-19 dilaporkan membabitkan mereka yang pulang di bawah skim RGL.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.