Aktiviti kelab malam terus catat kesalahan tertinggi ingkar PKPP

Aktiviti kelab malam terus catat kesalahan tertinggi ingkar PKPP

Lebih 500 daripada lebih 800 orang ditahan semalam kerana aktiviti dalam pub atau kelab malam.

PETALING JAYA:
Aktiviti dalam pub atau kelab malam terus merekodkan kesalahan tertinggi apabila 580 ditahan semalam, lebih separuh daripada 873 orang yang ditahan kerana ingkar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, ketika mengumumkan perkara itu berkata, seramai 797 orang daripada lebih 800 yang ditahan itu dikompaun, 71 direman, dan 5 dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk…aktiviti penjarakan fizikal (118), tidak memakai pelitup muka (52), premis beroperasi lebih masa (52), pendatang asing tanpa izin (39), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (22), disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran (7), langgar perintah kuarantin (2) dan menghalang penjawat awam bertugas (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini pada 1 Sept, Ismail ketika mengumumkan seramai 600 individu dikenakan kompaun kerana aktiviti di kelab malam mengumumkan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan akan menyertai operasi pematuhan PKPP di kelab malam.

Kerajaan mengancam untuk menarik balik permit operasi membabitkan kelab malam, yang sebenarnya masih lagi belum dibenarkan beroperasi, selepas didapati semakin ramai orang berani ingkar arahan pencegahan pandemik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.