
Beliau berkata pada masa ini, tindakan penguatkuasaan berhubung hal itu hanya ada pada Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertanggungjawab mengeluarkan lesen operasi di bawah bidang kuasa PBT sekiranya mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Tetapi KPKT maklum tentang kelompongan dari segi undang-undang. Kita boleh memperkuatkan lagi kerajaan tempatan untuk mengambil tindakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada KPKT boleh mengambil tindakan tegas, termasuk menarik balik lesen operasi kilang yang melakukan pencemaran seperti insiden pencemaran air di Sungai Gong, Rawang, Selangor.
Insiden pencemaran itu menyebabkan kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air sejak Khamis lepas apabila 4 loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas.
Susulan kejadian itu, dilaporkan 4 beradik yang merupakan pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam pencemaran air Sungai Gong, iaitu antara sumber air utama ke Sungai Selangor, direman 6 hari bermula semalam.