Umno cadang hukuman penjara mandatori, sebat ke atas pensabotaj bekalan air

Umno cadang hukuman penjara mandatori, sebat ke atas pensabotaj bekalan air

Langkah itu boleh dibuat melalui pindaan akta sedia ada atau pengubalan undang-undang baru.

Lebih 1.2 juta akaun di 7 wilayah sekitar Lembah Klang terjejas berikutan henti tugas loji rawatan air kerana pencemaran sungai yang berpunca dari sebuah kilang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno mendesak kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meminda undang-undang sedia ada atau menggubal undang-undang baru susulan kejadian berulang pencemaran sungai dan “mensabotaj” bekalan air yang menyebabkan penduduk di Lembah Klang mengalami gangguan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara pindaan boleh dilakukan kerajaan ialah meningkatkan denda dan kompaun yang lebih tinggi, iaitu 10 kali ganda daripada kos pembersihan air sungai yang tercemar.

Katanya, pemilik premis atau syarikat, termasuk lembaga pengarah dan pengurus syarikat juga perlu dikenakan hukuman penjara mandatori dan sebatan kerana mensabotaj bekalan air negara.

“Selain itu lesen perniagaan syarikat berkaitan dibatalkan dan pemilik premis atau pemilik syarikat perniagaan, termasuk lembaga pengarah dan pengurusan syarikat disenarai hitam daripada menjalankan sebarang aktiviti perniagaan untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas isu gangguan bekalan air di Lembah Klang selepas Sungai Selangor tercemar akibat operasi kilang.

Zahid berkata, Umno memandang serius kesalahan berulang pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebabkan sumber bekalan air rakyat tercemar.

“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali memandangkan ia merupakan kejadian kedua kilang penyelenggaraan jentera berat yang sama.

“Sebelum ini pemilik premis berkenaan pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan yang sama, iaitu mencemarkan sungai di Selangor.

“Kejadian yang boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk sabotaj bekalan air negara ini jelas memberikan mesej yang kuat kepada kerajaan negeri Selangor khususnya dan juga kerajaan persekutuan betapa undang-undang sedia ada tidak memadai dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan hak rakyat untuk menikmati akses bekalan air yang bersih untuk kegunaan harian,” katanya.

Beliau pada masa sama menyokong tindakan pihak berkusa menahan dan mendakwa individu terlibat di bawah Seksyen 430 Akta Kanun Keseksaan.

“Namun Umno juga menggesa agar pemilik-pemilik premis atau syarikat serta lembaga pengarah dan pengurusan syarikat tersebut turut didakwa di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan bahawa mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Tambahan pemilik-pemilik premis atau syarikat serta lembaga pengarah dan pengurusan syarikat berkenaan juga perlu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan tindakan tegas perlu diambil kerana mensabotaj serta mencemarkan sungai di Selangor ini,” katanya.

Lebih 1.2 juta akaun di 7 wilayah sekitar Lembah Klang terjejas berikutan henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang kerana pencemaran yang berpunca dari sebuah kilang.

Susulan kejadian itu polis menahan 4 pengurus kilang yang disyaki terbabit.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkata, pihak yang terlibat menyebabkan pencemaran sungai di Selangor sekali gus mengakibatkan mengalami gangguan bekalan air akan didakwa minggu depan.

Katanya, individu terbabit akan diambil tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.